Hanya dua orang saja dibenarkan satu meja di premis makanan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya.
Kedai makan dan gerai buka hingga 10 malam
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, restoran, kedai, gerai makan, kenderaan bersaji (food truck), penjaja tepi jalan, penjaja beredar, medan selera, pusat penjaja, gerai makan tepi jalan atau kiosk, kedai runcit dan kedai serbaneka dibenarkan beroperasi.
Waktu operasi adalah antara 6 pagi hingga 10 malam.
Individu dibenarkan makan di premis makanan, namun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sektor makanan.

Walau bagaimanapun, pembelian makanan secara pandu lalu dan penghantaran adalah digalakkan.
Operasi pasar
Operasi pasar harian dibenarkan antara 6 pagi hingga 2 petang saja manakala pasar borong antara 4 pagi hingga 2 petang, pasar tani 6 pagi hingga 12 tengah hari), pasar malam (4 petang hingga 10 malam).
Bagaimanapun, katanya, operasi pasar tani dan pasar malam perlu mematuhi SOP ketat yang ditetapkan dengan pengawasan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
Pengangkutan awam dan e-hailing
Perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas henti-henti, bas ekspres, LRT, teksi/ e-hailing dibenarkan beroperasi.
Perkhidmatan teksi/ e-hailing, (maksimum hanya 2 orang penumpang) dan penghantaran makanan dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam.

Bagi kenderaan yang membawa pekerja, mereka boleh membawa penumpang seperti yang telah ditetapkan sebelum ini.
Aktiviti keagamaan
Masjid dibenarkan azan dan mendirikan solat lima waktu dengan kehadiran 6 orang Jemaah yang ditentukan oleh jawatankuasa masjid termasuk Imam sahaja.
Manakala pengurusan dan petugas di semua rumah ibadat bukan Islam dibenarkan seramai 6 orang saja.

Walau bagaimanapun cadangan ini akan dibawa kepada Jakim dan Pihak Berkuasa Agama Negeri Selangor untuk dipersembahkan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor untuk diperkenankan. Keputusan lanjut akan diumumkan oleh JAKIM dan Pihak Berkuasa Agama Negeri Selangor dalam masa terdekat.
Aktiviti Sukan
Aktiviti sukan secara individu, e-sports, sukan yang tidak bersentuhan dan sukan outdoor yang tidak melebihi 10 orang adalah dibenarkan.
Aktiviti kolam renang, bersentuhan fizikal, sukan bertempur dan penganjuran sukan/kejohanan tidak dibenarkan.