Polis menahan lapan individu berusia antara 26 hingga 45 tahun bagi membantu siasatan berhubung kegiatan lumba haram di Lebuhraya Linkedua, Kulai, yang dipercayai dilakukan selepas sekumpulan individu menutup laluan bagi memberi ruang kepada dua motosikal berlumba.
![]()
Lapan Suspek Ditahan Bantu Siasatan Perlumbaan Haram Di Lebuhraya Linkedua
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee, berkata kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kulai pada Isnin untuk permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ). Penahanan itu dibuat selepas polis mengesan sebuah video kejadian yang tular di Facebook pada petang Sabtu.
Menurut beliau, rakaman berkenaan menunjukkan dua motosikal berlumba dari Kilometer (KM) 33, susur Tol Senai Utara hingga KM31, susur Johor Premium Outlet (JPO). Bagaimanapun, nombor pendaftaran serta jenis kedua-dua motosikal terbabit tidak dapat dikenal pasti menerusi rakaman tersebut.
![]()
Dalam pada itu, polis turut sedang mengesan beberapa individu lain yang dipercayai berada di lokasi dan menyaksikan perlumbaan berkenaan dari bahu lebuh raya. Tan berkata, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti serta mengambil tindakan terhadap semua pihak yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian tersebut.
Kredit: Sinar Harian