Media sosial sebelum ini gempar apabila media melaporkan beberapa individu termasuk mereka yang bergelar Datuk Seri ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat dengan kes pengubahan wang haram atau Macau Scam.
Kes berkenaan membuatkan netizen tidak duduk diam lantas cuba mengorek siapakah individu yang dimaksudkan dan hasilnya beberapa nama mula dikaitkan dengan kes terbabit.

Tiada kaitan dengan macau scam
Terbaru, polis mengesahkan dua individu yang ditahan SPRM berhubung kes pengubahan wang haram baru-baru ini berperanan sebagai koordinator atau ejen menyediakan kemudahan kepada sindiket penipuan yang menyasarkan rakyat China.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, siasatan mendapati, dua lelaki terbabit iaitu Addy Kanna dan seorang lelaki dikenali sebagai Goh Leong Yeong@Alvin diupah untuk menyediakan kemudahan kediaman, pusat panggilan yang dilengkapi peralatan komputer dan telekomunikasi serta kemudahan internet di negara ini dan mereka tiada kaitan dengan kegiatan Macau Scam di negara ini .

Tangkapan ke atas lelaki yang dikenali sebagai Addy Kanna dan seorang lelaki dikenali sebagai Goh Leong Yeong @ Alvin yang melarikan diri dari Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya, 11 Oktober lalu tidak terbabit dalam kegiatan penipuan atau Macau Scam di negara ini.
Perkara itu dikongsikan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed kepada media selepas diminta mengulas satu rakaman perbualan telefon yang tular pada minggu lalu.