Semalam KWSP ada mengumumkan mengenai program i-Sinar dari
Akaun 1 . Menurut Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul, program itu adalah hasil perbincangan diantara KWSP dan kerajaan dalam menambah baik inisiatif pengeluaran Akaun 1 secara bersasar.

Skim i-Sinar iaitu pengeluaran wang dalam akaun 1 untuk pencarum yang terjejas dengan Covid-19 dengan memberi manfaat kepada dua juta pencarum, dengan anggaran dana berjumlah RM14 bilion.

Terbahagi kepada 2 kategori

Bagi pencarum dengan baki RM90,000 ke bawah dalam akaun 1, mereka mempunyai akses kepada amaun sehingga RM9,000 dengan pengeluaran pertama sehingga RM4,000.

Bagi pencarum dengan baki RM90,000 ke atas dalam akaun 1 pula, jumlah maksimum yang boleh dikeluarkan adalah RM60,000 dengan pengeluaran pertama sehingga RM10,000.

Secara umum, ahli yang layak boleh mengakses 10 peratus daripada amaun simpanan mereka dalam Akaun 1, tertakluk kepada baki minimum RM100.

Ini bermakna, berdasarkan contoh yang diberikan KWSP, mereka yang mempunyai simpanan RM4,500 boleh membuat pengeluaran sebanyak RM4,400 (iaitu melebihi 10 peratus, dengan baki selepas pengeluaran sebanyak RM100).

Pengeluaran akan dibuat secara berkala sehingga enam bulan.

Menggantikan semula wang

Bagaimanapun, berbeza dengan skim i-Lestari, pemohon i-Sinar perlu menggantikan semula wang yang dikeluarkan menerusi caruman pada masa akan datang.

Caruman baru akan dikreditkan 100 peratus ke dalam Akaun 1 sehingga amaun pendahuluan yang diterima telah digantikan semula. 

Selepas itu, caruman akan kembali ke kadar pecahan asal iaitu 70 peratus bagi Akaun 1 dan 30 peratus bagi Akaun 2.

Walau bagaimanapun, KWSP menggalakkan pencarum yang ingin membuat permohonan mendapatkan nasihat kewangan daripada pihaknya atau Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), untuk menentukan jumlah yang ingin dikeluarkan.

Hanya yang layak

Kata KWSP lagi, ahli yang layak – merangkumi mereka yang hilang kerja, diberi cuti tanpa gaji atau tiada sumber pendapatan – boleh membuat permohonan bermula Disember ini, dengan pengeluaran pertama bermula Januari 2021.

Untuk butiran lanjut, anda boleh layari di pautan www.kwsp.gov.my

[fbcomments]