Seorang wanita yang menaiki kenderaan e-hailing untuk pulang dari tempat kerja disamun dan dicabul pemandu kenderaan itu di Batu Caves.

Menurut Ketua Polis Daerah Gombak Arifai Tarawe, kejadian berlaku kira-kira pukul 6.30 petang pada Khamis dimana mangsa berusia 23 tahun itu menaiki kereta Perodua Axia yang dipandu suspek lelaki dari tempat kerja di Solaris Hartamas untuk pulang ke rumahnya di Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Suspek (kemudian) membawa pengadu melalui laluan yang berbeza hingga tiba di kawasan Air Terjun Sungai Tua, Batu Caves.

Kata beliau, setelah memberhentikan kenderaannya, suspek menarik tangan wanita itu sehingga jatuh terbaring, menindih badannya dan menutup mulutnya, selain merampas telefon bimbit wanita itu.

Mangsa berjaya melarikan diri dan meminta bantuan penduduk setempat sebelum membuat laporan polis.

Susulan laporan tersebut, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, menahan suspek lelaki berusia 25 tahun itu di pekarangan Balai Polis Selayang ketika dia hadir memberi keterangan semalam.

Suspek turut didapati mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah.

[fbcomments]