Fauziah Ahmad Daud atau lebih dikenali sebagai Ogy Ahmad Daud, menggemparkan dunia hiburan apabila beliau dikatakan akan melangsungkan majlis istimewanya pada minggu hadapan.
Dalam hantaran Facebook miliknya, beliau menjelaskan telah menerima pinangan dan tidak sabar menantikan detik tersebut.

Ramai yang gembira dengan berita tersebut dan mendoakan kebahagian untuk Kak Ogy. Tidak kurang juga yang mendoakan agar majlisnya kelak berjalan dengan lancar.
Rupa-rupanya ‘pinangan’ yang dimaksudkan ialah pementasan muzikal. Bukanlah ‘pinangan’ yang dijangka orang ramai. Fauziah Ahmad Daud, 60, menjelaskan di Sidang Media Pementasan Muzikal Wajah Rahsia Hati, semalam.
“Ramai orang ingat saya nak nikah. Saya tak cakap pun nak nikah… apa yang saya maksudkan adalah tentang konsert ini yang akan diadakan tahun depan. Tapi kalau ramai yang doa, saya aminkan sahaja,”

Jelas Ogy lagi, beliau mengambil masa 5 tahun untuk memikirkan lamaran dari pihak produksi tersebut. Katanya, beliau turut melakukan solat istikharah kerana baginya tanggungjawab yang diberikan agak besar.
“Apa yang ingin dipaparkan bukan seperti konsert biasa. Bagaimanapun saya tak anggap ia sebagai satu beban,” kata pelakon filem Ali Setan itu.
Tambah Ogy lagi, jodoh itu rahsia Tuhan. Terima kasih yang mendoakan baik-baik buat saya. Cuma sekarang fokus saya adalah untuk membesarkan anak saya dan lebih mengutamakan kerjaya saya.
Pementasan teater itu bakal diadakan di Gateway Thetre, Singapura pada Februari tahun hadapan. Persembahan berbentuk monolog tersebut mendapat sentuhan penulis skrip, Slen Fadzil dan Zurina Waji serta bakal diarahkan pelakon dan pengarah teater, Kamaruzaman Taib atau lebih dikenali sebagai Che Kem.