Indonesia tangguh bantuan antarabangsa bagi menangani kebakaran hutan dan tanah yang semakin meluas, termasuk tawaran bantuan daripada Malaysia, selagi kerajaan republik itu belum mengisytiharkan keadaan berkenaan sebagai bencana nasional.

Indonesia Tangguh Bantuan Malaysia, Yakin Mampu Padam Kebakaran Hutan Sendiri

Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik dan Keselamatan Indonesia, Dudung Abdurachman berkata, kerajaan negaranya masih yakin mampu mengawal kebakaran tersebut menggunakan sumber dan keupayaan tempatan tanpa memerlukan bantuan dari luar buat masa ini.

Beliau menjelaskan bahawa tawaran bantuan Malaysia hanya akan dilaksanakan sekiranya Indonesia membuat pengisytiharan bencana nasional. Selain itu, operasi bantuan turut berdepan beberapa cabaran teknikal di lapangan, termasuk urusan pembekalan bahan api dan penyelarasan logistik.

Kenyataan itu dibuat ketika kebakaran hutan di Indonesia terus menimbulkan kebimbangan berikutan kesannya terhadap masalah jerebu rentas sempadan yang turut melibatkan negara-negara jiran.

Sebelum ini, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad menyatakan kesediaan Malaysia untuk membantu Indonesia menangani krisis berkenaan. Beliau turut mencadangkan kerjasama melalui mekanisme ASEAN bagi meningkatkan penyelarasan, kesiapsiagaan dan tindakan bersama dalam menangani isu jerebu rentas sempadan.

Pada 19 Oktober, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga mengulangi kesediaan Malaysia untuk menggerakkan aset bagi membantu operasi memadam kebakaran di Indonesia.

Bantuan yang ditawarkan merangkumi sebuah pesawat pemadam kebakaran Bombardier CL-415MP, tiga buah helikopter serta 50 anggota. Bagaimanapun, penghantaran aset dan anggota berkenaan masih menunggu kelulusan rasmi daripada kerajaan Indonesia.

Tawaran itu pada asalnya dibincangkan ketika Ahmad Zahid mengadakan pertemuan dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, di Hambalang, Jawa Barat pada 18 September lalu. Ketika pertemuan tersebut, Prabowo dilaporkan menyambut baik tawaran bantuan daripada Malaysia.

Namun, perkembangan terbaharu menunjukkan bantuan berkenaan masih belum dapat digerakkan, meskipun sebelum ini terdapat laporan bahawa Indonesia bersetuju menerima bantuan antarabangsa untuk menangani kebakaran hutan yang menyebabkan jerebu di rantau ini.

Kredit: BERNAMA

 

 

[fbcomments]