Seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun ditahan polis selepas disyaki mencederakan seorang guru wanita menggunakan senjata tajam yang dipercayai kapak dalam kejadian di sebuah sekolah antarabangsa swasta di Kuching, Sarawak, pagi Rabu.

Pelajar Lelaki Ditahan, Disyaki Cederakan Guru Guna Kapak Di Sekolah Antarabangsa Kuching

Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Saifullizan Ishak berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 8.03 pagi selepas Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999.

Berdasarkan maklumat awal, guru wanita terbabit mengalami kecederaan berupa luka pada tangan ketika kejadian. Menurut laporan Borneo News of This Week, mangsa dipercayai cuba mengambil objek tajam yang dibawa pelajar berkenaan ke kawasan sekolah tanpa kebenaran.

Difahamkan, pelajar itu turut didakwa melakukan siaran langsung menggunakan telefon bimbit yang dipasang pada bahagian kepalanya sebelum berlari di sekitar kawasan sekolah sambil membawa objek yang dipercayai senjata tajam.

Pelajar terbabit kemudian berjaya dikawal sebelum dibawa ke pejabat pengetua dan diletakkan di bawah pengawasan pihak sekolah sementara menunggu tindakan lanjut. Pihak sekolah turut menghubungi perkhidmatan ambulans bagi membawa guru yang cedera ke hospital untuk mendapatkan rawatan, manakala ibu bapa pelajar berkenaan dimaklumkan mengenai insiden itu.

Polis yang tiba di lokasi kemudian mengambil alih pengendalian kes untuk menjalankan siasatan lanjut. Pemeriksaan terhadap beg pelajar terbabit turut menemukan satu lagi barangan yang memerlukan penelitian pihak berkuasa.

Dalam makluman yang dihantar melalui e-mel kepada ibu bapa, penjaga, kakitangan dan pelajar, pihak sekolah menyatakan kejadian berlaku di kawasan TK4. Tiada kecederaan lain dilaporkan, manakala pelajar yang berada berhampiran tempat kejadian dipindahkan ke kawasan selamat bagi mengelakkan sebarang risiko.

Atas nasihat polis, pihak sekolah mengambil keputusan menutup operasi sekolah bagi membolehkan siasatan dijalankan. Ibu bapa diminta mengambil anak masing-masing lebih awal, sementara mereka yang menghadapi kesukaran menguruskan pengambilan diminta menghubungi pihak sekolah untuk mendapatkan bantuan.

Saifullizan berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau alat berbahaya. Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Letupan 1957 berhubung pemilikan mercun yang dilaporkan dalam kejadian itu.

Beliau berkata, polis sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar insiden serta mengumpulkan bukti berkaitan. Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan sementara menunggu perkembangan rasmi daripada pihak berkuasa.

Kredit: Sinar Harian, Borneo News

 

 

[fbcomments]