Penyanyi dangdut Mas Idayu tampil menjelaskan kontroversi berhubung isu yang melanda dirinya dan salah seoarang peserta Famili Duo, Sissy Iman.
Mas Idayu sebelum ini telah dikecam hebat oleh netizen akibat cara penjuriannya di minggu keenam Famili Duo yang menyebabkan Sissy Iman menangis di atas pentas.
Menurut Masidayu Mesnun, dia sanggup menelan kata-kata kesat dilemparkan kepadanya asalkan tidak menggangu fokus peserta program realiti nyanyian tersebut.
“Saya sangat mengalu-alukan netizen memaki diri saya, asalkan jangan diganggu peserta dengan komen di media sosial.
“Ada peserta yang DM (Direct Message) saya di Instagram mengatakan nampak sangat saya sayangkan Sissy Imann dan Naim Daniel berbanding mereka.
“Tapi saya diam, sebeab apa? Sebab orang boleh nampak, saya marah mereka berdua beria berbanding peserta lain,” katanya pada sidang media di pentas akhir Famili Duo di Plaza Alam Sentral, Shah Alam malam tadi.
Mas Idayu juga berkata dia tidak mengambil hati dengan tindakan Sissy yang membuat luahan di media sosial selepas kejadian tersebut.
“Apa yang saya nampak, dia tak marah saya tetapi dia kecewa. Tapi disebabkan dia mendiamkan diri, netizen hentam saya.
“Dalam masa seminggu tu, saya dapat panggilan b*bi, c*laka, s*al, anj*ng semua tetapi saya tak nak jawab apa-apa pun sebab saya tak mahu mereka kacau peserta,” ujarnya.
Famili Duo telah berakhir malam tadi dan menyaksikan Zaki Yamani dan Yamani Abdillah sebagai juara yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM 100, 000. Manakala, pasangan Sissy dan Naim mendapat tempat keempat dengan hadiah wang tunai sebanyak RM10, 000.