Seorang lelaki Orang Asli berusia 42 tahun maut selepas dipercayai diserang harimau belang ketika masuk ke kawasan Hutan Simpan Korbu untuk mencari rotan pada Isnin.

Zamberi Angah ditemukan tidak bernyawa di kawasan rumpun buluh berhampiran jalan balak di Kampung Takung, Pos Perwor, Sungai Siput, kira-kira 200 meter dari lokasi yang dipercayai menjadi tempat serangan berlaku.

Lelaki Maut Dibaham Harimau Ketika Cari Rotan

Mangsa dilaporkan masuk ke kawasan hutan bersama seorang rakannya sebelum kejadian berlaku. Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menerima aduan mengenai kejadian kira-kira jam 4.30 petang sebelum anggota Unit Konservasi Hidupan Liar (UKHM) bersama kakitangan Perhilitan Sungai Siput digerakkan ke lokasi.

Operasi pencarian kemudiannya bermula kira-kira jam 6.30 petang dengan bantuan anggota polis dari Balai Polis Lintang, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA, kira-kira 30 penduduk kampung serta pekerja balak. Mangsa akhirnya ditemukan di kawasan rumpun buluh berhampiran jalan balak.

Pemeriksaan di lokasi menemukan kesan gigitan pada bahagian tengkuk mangsa serta kesan makan pada lutut kanan sehingga ke paras pinggang. Selain itu, terdapat juga kesan pergelutan, darah mangsa, tapak kaki harimau belang serta serpihan seluar dan stoking di kawasan berkenaan. Jarak antara lokasi yang dipercayai menjadi tempat serangan dengan lokasi mayat ditemukan dianggarkan sekitar 200 meter.

Perkara itu turut dimaklumkan ADUN Lintang merangkap Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun menerusi hantaran di Facebook pada Isnin. Beliau menyifatkan kejadian itu sebagai amat memilukan dan meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga serta masyarakat setempat.

Mohd Zolkafly bersama isterinya turut menziarahi keluarga Allahyarham bagi menyampaikan ucapan takziah dan menghulurkan sumbangan bagi membantu meringankan beban waris. Menurut beliau, Perhilitan akan membantu keluarga Allahyarham mendapatkan Bantuan Mangsa Serangan Hidupan Liar selain memberikan khidmat nasihat keselamatan kepada penduduk.

Dalam pada itu, perangkap harimau belang akan dipasang dalam masa terdekat bagi membantu usaha pemantauan dan kawalan di kawasan berkenaan. Mohd Zolkafly berharap langkah keselamatan dapat dilaksanakan segera, khususnya bagi melindungi masyarakat Orang Asli yang bergantung kepada hasil hutan untuk meneruskan kehidupan.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak memasuki kawasan tersebut buat sementara waktu, sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa.

Kredit: Sinar Harian

 

 

[fbcomments]