Berat badan selebriti Datin Almy Nadia, menjadi buah mulut ramai apabila dikakatakan berbeza berbanding ketika mendirikan rumah tangga dahulu.
Namun, reaksi suaminya Datuk Fizz Fairuz menarik perhatian apabila dia tidak kisah dan dikatakan menerima pasangannya itu seadanya.
Fizz atau nama sebenarnya Fairuz Zainal Abidin, 43 berkata, dia tidak pernah memandang fizikal Almy sebagai sesuatu perkara yang buruk malah dia sentiasa memegang janji yang dilafaz sewaktu berkahwin dahulu.
“Itulah lumrah hidup saya… Apa yang saya cakap itulah yang saya kotakan. Apa yang saya nak itu saya cuba sampaikan kepada orang luar. Benda itu lahir daripada kita sendiri. Apa kita mahu daripada keluarga dan rumah tangga kita,” katanya.
Tak nak Almy terbeban kuruskan badan
Fizz mengaku yang Almy ada meluahkan hasrat menurunkan berat badan, namun Fizz sedikit bimbang terhada isterinya itu.
“Kalau dia nak kurus untuk kesihatan saya okay, tapi kalau benda itu boleh memudaratkan saya syorkan baik jangan. Dia ada benda nak kena buat, dia ada benda nak kena tanggung.
“Saya sebenarnya kesian… takut dia terlalu ikut perasaan sebab nak kurus. “Benda itu (kuruskan badan) bukannya benda mudah. Saya tak mahu dia terbeban. Kalau dia betul-betul nak buat, terpulang, saya cuma boleh sokong dan dorong dia sahaja,” katanya.

Tunggu lepas anak tidak menyusu
Fizz risau akan keadaan isterinya memandangkan suri hatinya itu sedang menyusukan anak bongsu mereka yang baru menginjak usia dua tahun.
“Insya Allah satu hari nanti korang akan lihat Almy Nadia yang 2015 atau 2016, korang tunggu. Dia ada impian nak kuruskan badan cuma sekarang ini dia ada anak yang menyusu jadi dia kena makan untuk pastikan air susu mencukupi. Saya tak nak hadkan dia untuk putus susu ke apa.
“Bagi anak besar sikit selepas itu kalau dia nak kurus tiada masalah. Kita cuba kalau boleh turun…. kita turun kalau tidak maintain berapa yang boleh. Bentuk badan yang dulu pun dah okay,” ujarnya lagi.
Memberi komen tentang sindiran dan kecaman yang diterima, Fizz menjawab dengan tenang yang perkara itu adalah biasa buat public figure seperti mereka.
“Mulut orang tak boleh nak tutup, kena kuat. Sebab kita adalah public figure kita kena terima kritikan apa sahaja. Jangan jadikan perkara itu satu halangan untuk pergi ke arah yang lain.“
Sebagai info, Fizz dan Almy berkahwin pada 26 April 2014 dan dikurniakan empat cahaya mata perempuan iaitu Afrina Arianna, 6, Afrina Aurora, 5, Afrina Ayra, 4 dan Nur Afrina Aisyah, 2.