Tugas sebagai pelakon cilik bukanlah mudah kerana mereka terpaksa membahagikan masa secara personal dan secara profesional.
Baru-baru ini, seorang pelakon cilik yang sudah meningkat dewasa iaitu Qistina Raisah telah mendedahkan kepada media bahawa beliau dibuang sekolah seawal umur tujuh tahun lagi atas sebab kerap tidak hadir ke sekolah.

Terpaksa Ponteng Atas Sebab Kerjaya Sebagai Pelakon
Menurut sumber Kosmo!, Qistina memaklumkan bahawa beliau bersekolah di rumah (homeschool) kerana sudah berlakon sejak usia muda lagi. Ini adalah penyebab beliau hanya sempat menghadirkan diri ke sekolah selama sepuluh hari dan dibuang sekolah atas alasan sering tidak hadir ke sekolah.
“Saya pernah ke sekolah tetapi selama 10 hari saja. Jadi saya memang tak ada pengalaman duduk di kantin sekolah dan sebagainya. Dulu sewaktu zaman kanak-kanak saya banyak berlakon drama untuk saluran Astro Ceria”, jelasnya.
“Selepas itu saya dibuang sekolah sebab selalu tak datang”, tambahnya lagi.
Lebih Selesa Homeschool Daripada Hadir Ke Sekolah
Menurut sumber Harian Metro, Qistina turut memberitahu beliau pernah cuba untuk mendaftar masuk ke sekolah semula ketika di tahun enam, namun beliau lebih selesa untuk meneruskan untuk belajar di rumah.
“Saya pernah cuba untuk masuk semula ke sekolah ketika tahun enam bagi menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), tetapi tak dapat sebab ketika itu PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) pula. Tiba-tiba juga, saya dapat tawaran berlakon dan perlu berada di Itali. Jadi, sekarang saya belajar di rumah. Selain mata pelajaran asas, saya belajar gitar dan Bahasa Mandarin. Insya-Allah, saya nak daftar kelas menembak untuk saya gunakan skil itu dalam karier lakonan saya,” katanya.
“Ada orang sudah belajar tinggi-tinggi pun, belum tentu boleh berjaya. Jadi saya pada usia muda sudah bina karier dan nama dalam bidang seni, jadi saya teruskan sahaja,” jelas Qistina.
Kredit: Kosmo!, Harian Metro