Seorang pempengaruh vegan yang dikenali sebagai Zhanna Samsonova berasal dari Rusia dilaporkan telah meninggal dunia di Malaysia akibat diet ekstrem yang diamalkan selama bertahun-tahun, di mana beliau hanya makan buah durian dan nangka sahaja.

Dalam Keadaan Letih Sebelum Mati

Menurut sumber yang dilihat dari media New York Post, wanita yang berusia 39 tahun itu dimaklumkan meninggal dunia selepas mendapatkan rawatan perubatan ketika berkunjung ke Asia Tenggara pada 21 Julai yang lepas. Ibu kepada pempengaruh tersebut mempercayai bahawa punca kematian adalah disebabkan jangkitan seperti kolera, dan kerana beliau hanya makan buah-buahan, pucuk serta jus yang diambilnya selama bertahun-tahun.

Rakan kepada wanita ini memaklumkan kepada media bahawa mangsa dilihat dalam keadaan letih dan mengalami bengkak di bahagian kakinya semasa berada di Sri Lanka beberapa bulan sebelum kematiannya. “Mereka menghantarnya pulang untuk mendapatkan rawatan, namun dia melarikan diri lagi. Saya meyakinkannya untuk mendapatkan rawatan, tetapi tidak berjaya”, jelasnya.

Punca Kematian Masih Belum Diketahui Secara Rasmi

Menurut laporan Newsflash, seorang lagi rakan kepada si mati mendakwa beliau hanya mengamalkan untuk makan durian dan nangka serta beberapa jenis buah yang lain sejak tujuh tahun yang lalu. Samsanova yang menyebarkan tentang diet ekstremnya itu telah mendapat pelbagai reaksi dari netizen.

“Saya suka mencipta resipi saya sendiri dan memberi inspirasi kepada orang ramai untuk makan dengan lebih sihat”, katanya dalam platform media sosial miliknya. Walaupun terdapat beberapa kesan buruk terhadap diet yang diamalkan, rata-rata pengikut media sosialnya enggan mempercayai bahawa pilihan pemakanan yang menjadi punca kematian Samsanova.

Sebaliknya mereka mendakwa kematiannya adalah disebabkan oleh bahan kimia di dalam buah yang dimakan. Tambahan info, keluarga Samsonova kini masih menunggu laporan perubatan dan sijil kematian yang akan menentukan punca rasmi kematiannya.

Kredit: New York Post

[fbcomments]