Penyanyi terkenal, Shima, yang dikenali dengan lagu hit “Teringin” telah mengejutkan ramai peminat apabila videonya yang tidak lagi berhijab menjadi tular.

Shima, atau nama sebenarnya Ku Nazhatul Shima Ku Kamarazzaman, 55, menjelaskan bahawa keputusan untuk tidak memakai tudung bukanlah atas kehendaknya sendiri tetapi atas nasihat doktor kerana faktor kesihatan.

Buka Tudung Atas Faktor Kesihatan

Menurut laporan Harian Metro, Shima memaklumkan bahawa dia mengambil keputusan tersebut atas faktor kesihatan.

“Saya sering mengalami migrain yang teruk apabila terdedah kepada panas, menyebabkan bahagian leher saya naik ruam panas yang lambat sembuh walaupun telah diletakkan ubat. Suami saya juga menyedari perkara ini. Sudah tiga tahun saya tidak bertudung kerana masalah kesihatan ini,” katanya.

Selain itu, Shima juga meluahkan rasa kecewa apabila perniagaan yang diusahakannya tidak mendapat sambutan.

“Bila kita buat benda baik seperti berniaga dari rumah, masyarakat tidak memberi sokongan. Saya cuba berniaga mee rebus dan mee jawa secara online, tetapi tiada siapa yang ambil peduli. Namun, apabila isu buka tudung tular, mereka riuh satu kampung,” ujarnya.

Shima juga menceritakan pengalaman pahitnya apabila terpaksa bergelut sendirian ke hospital tanpa bantuan kewangan.

“Sebelum ini, saya mengalami kesakitan dan terpaksa ke hospital sendirian tanpa wang, namun tiada siapa yang peduli,” katanya.

Walaupun menghadapi kritikan dari netizen, Shima menerima semua komen dengan hati yang terbuka.

“Saya tidak ambil peduli dengan kecaman. Nak kecam, kecamlah. Saya bukan budak lagi dan tidak terkesan dengan kecaman itu,” katanya dengan tegas.

Pada Januari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberikan sumbangan kepada Shima untuk membantu urusan harian dan perubatannya, memandangkan beliau sedang menghidap penyakit bronchitis.

Kredit: Harian Metro

 

[fbcomments]