Dalam satu sesi perbincangan eksklusif di “Dol’s Podcast” yang dihoskan bersama Shuk Sahar dan Fizie, pelawak terkenal Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad telah berkongsi pengalaman pahit semasa zaman mudanya. Shuib mendedahkan bagaimana dia pernah terjerumus dalam dunia perjudian dan bagaimana keputusan untuk berhenti berjudi telah mengubah hidupnya sepenuhnya.
![]()
Video di bawah:
https://www.youtube.com/watch?v=POBPQp7Uczw
Shuib Mengaku Pernah Berjudi, Menang RM68K
Mengimbau kembali detik-detik itu, Shuib berkongsi bahawa dia pernah menghabiskan sejumlah besar wang untuk permainan judi.
“Banyak duit dah aku habiskan untuk main permainan itu dan aku pernah ‘bet’ RM150 ‘per spin’ (setiap pusingan). Dalam satu minit sebenarnya permainan itu boleh main sebanyak tiga atau empat spin. Jadi, kau bayangkan berapa ratus ringgit boleh dihabiskan dalam satu minit?” ceritanya.
Akibat ketagihan tersebut, Shuib pernah mengalami kerugian yang besar, mencecah puluhan ribu ringgit. Salah satu pengalaman paling getir yang dihadapi Shuib adalah ketika dia memenangi sejumlah besar wang, namun terpaksa berhadapan dengan ancaman beberapa ‘gangster’ yang cuba menakutkannya.
“Aku pernah menang RM68,000, tapi bila dah menang, tiba-tiba tuan kedai tak nak bagi duit. Dia anggap aku menipu mesin itu. Sampai dia panggil beberapa ‘gangster’ untuk datang ke kedai,” kenangnya.
Insiden itu berlaku semasa Shuib menjalani penggambaran sebuah filem di Ipoh pada tahun 2013. Shuib dan rakan pengacaranya, Shuk, dipanggil ke bilik belakang oleh ‘gangster’ tersebut yang mempersoalkan mengapa seorang artis seperti Shuib terlibat dalam perjudian.
“Bila aku dengar mereka cakap begitu, aku sedar ini adalah amaran. Aku ambil keputusan untuk berhenti. Ini kali terakhir aku main judi,” kongsinya lagi.
![]()
Pengalaman itu memberi kesedaran mendalam kepada Shuib. Dia juga menasihati orang ramai agar menjauhi perjudian yang hanya akan membawa kepada kemudaratan.
“Perjudian mungkin nampak seronok, tapi ia tidak akan membawa kebahagiaan sejati. Kehidupan aku masih susah walaupun menang judi. Tapi bila aku berhenti, rezeki makin bertambah,” ujarnya dengan penuh keinsafan.
Kini, setelah meninggalkan dunia perjudian, Shuib menikmati keberkatan dalam hidupnya. Dia berjaya membina perniagaan seperti Bubblebee yang semakin berkembang pesat. Keputusan untuk meninggalkan perjudian ternyata merupakan titik perubahan penting dalam hidup Shuib, membawa kepada kehidupan yang lebih baik dan bermakna.
Kredit: Youtube Shuib Channel