Seorang lelaki berusia 48 tahun ditahan polis selepas dipercayai merakam bahagian bawah kain seorang remaja perempuan secara curi-curi di sebuah pasar raya di Kajang, baru-baru ini.

Duda Anak 3 Ditahan Polis Selepas Disyaki Lakukan Perbuatan Tidak Senonoh Terhadap Pelajar 16 Tahun

Menurut laporan, kejadian berlaku ketika mangsa yang berusia 16 tahun sedang menemani ibunya di kaunter pembayaran. Tindakan mencurigakan lelaki tersebut disedari oleh seorang pengunjung lain yang berada berhampiran, lalu segera menegur suspek.

Namun, suspek bertindak menafikan dakwaan itu sebelum beredar dari lokasi kejadian. Menyedari kemungkinan berlaku perlakuan tidak wajar terhadap anaknya, ibu mangsa segera membuat laporan polis.

Bertindak atas aduan tersebut, pihak berkuasa berjaya mengesan dan menahan suspek sekitar kawasan Bandar Kajang kira-kira jam 12.15 tengah malam. Telefon bimbit milik suspek yang juga bekerja sebagai pengawal keselamatan turut dirampas bagi tujuan siasatan lanjut.

Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau. Bagaimanapun, dia kini direman selama sehari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 15(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Kredit: Harian Metro

 

 

 

 

[fbcomments]