Sikap prihatin ahli jawatankuasa (AJK) Surau Madrasatul Huda, Alor Setar, terhadap seorang wanita bersama bayinya yang ditemui dalam keadaan ketakutan baru-baru ini meraih pujian ramai apabila mereka tampil memberi perlindungan tanpa mengira latar belakang bangsa atau agama.
@shownbotak Kita kan Satu Malaysia Bantuan kami kepada ibu dan baby.. Moga mereka sihat selalu #fypシ゚
“Tolong Jangan Halau Saya” – Wanita Bersama Bayi Ditemui Dalam Ketakutan, AJK Surau Tampil Hulur Bantuan Tanpa Mengira Bangsa
Kejadian itu berlaku pada malam Khamis lalu apabila seorang wanita berketurunan India didapati berada berhampiran surau dalam keadaan bingung dan mendukung bayinya yang hanya berbalut dengan sehelai tuala.
Shamsul Anuar Aziz, 44, yang juga AJK surau dan pemilik akaun TikTok yang memuat naik insiden berkenaan berkata kejadian itu berlaku sekitar jam 8.35 malam sejurus selepas jemaah selesai menunaikan solat Maghrib.
Menurutnya, wanita terbabit dilihat berjalan perlahan-lahan melintasi surau dalam keadaan mencurigakan sebelum beliau dimaklumkan oleh sepupunya mengenai kehadiran wanita dan bayi itu yang sedang bersembunyi di kawasan gelap berhampiran.
![]()
“Saya terus ke lokasi bersama beberapa jemaah lain. Kami temui wanita itu sedang berselindung di belakang sebuah kereta. Dia kelihatan sangat ketakutan dan memohon agar tidak dihalau,” katanya.
Shamsul berkata, dia dan beberapa jemaah lain berjaya memujuk wanita tersebut untuk ke surau bagi mendapatkan perlindungan sementara. Wanita itu dipercayai masih dalam tempoh berpantang dan kelihatan sangat lemah serta trauma.
Melalui perbualan ringkas, wanita tersebut memaklumkan bahawa dia sebelum ini menumpang di rumah seorang rakan berdekatan namun terpaksa keluar berikutan masalah kewangan dan rasa tidak selamat. Tambah memilukan, suaminya kini sedang menjalani hukuman penjara.
“Dia tiada tempat untuk dituju dan tidak mempunyai wang. Bayinya pula tidak memakai lampin pakai buang sejak sekian lama,” ujar Shamsul.
![]()
Prihatin dengan keadaan itu, pihak surau segera bertindak membantu dengan membelikan susu, lampin pakai buang serta makanan untuk keperluan bayi terbabit selain menyediakan tempat rehat sementara buat si ibu dan anak.
Wanita tersebut turut memaklumkan bahawa dia mempunyai seorang abang yang menetap di Pulau Pinang. Usaha menghubungi abangnya berjaya dilakukan dengan bantuan AJK surau.
Pihak surau kemudiannya sepakat membeli tiket perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) terakhir malam itu bagi membolehkan wanita dan anaknya pulang ke pangkuan keluarga dengan selamat.
![]()
“Sewaktu menunggu di stesen, ada juga seorang lelaki India yang turut membantu mengangkat beg wanita itu. Dia kelihatan lebih tenang sebelum menaiki tren,” kata Shamsul.
Menurut beliau, ini adalah pertama kali situasi seumpama itu berlaku di surau mereka namun pihak surau berasa bersyukur kerana diberi peluang membantu insan yang memerlukan.
Kredit: TikTok shownbotak