Pemandu lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang terlibat dalam kemalangan maut di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, baru-baru ini didakwa atas lima pertuduhan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini.
![]()
Pemandu Lori Imigresen Didakwa Lima Pertuduhan, Digantung Tugas Susulan Nahas Maut
Mohd Akbar Zainol, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aliaa Anwar. Pertuduhan berkenaan dibuat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987, termasuk dakwaan memandu secara berbahaya sebuah lori jenis Isuzu Black Maria milik JIM sehingga menyebabkan kematian serta satu pertuduhan berkaitan pelanggaran lampu isyarat.
Susulan kejadian itu, Mohd Akbar turut digantung tugas buat sementara waktu sehingga siasatan kes berkenaan selesai. Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata tindakan tersebut diambil bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh.
![]()
Menurut beliau, JIM akan memberikan kerjasama penuh kepada polis selain menjalankan siasatan dalaman bagi meneliti aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kejadian berkenaan.
Kemalangan yang berlaku di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail, itu mengorbankan tiga sekeluarga yang sedang berjalan kaki sebelum dirempuh lori berkenaan. Lori tersebut dipercayai dalam perjalanan dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit ketika kejadian.
![]()
Tiga mangsa yang maut ialah Shaik Mohd Firdaus Shaikh Yahya, 53, bersama dua anak perempuannya, Siti Nor Sazlin, 25, dan Siti Darwisyah Auni, 12. Isteri mangsa, 55, yang turut terlibat dalam kejadian pula dilaporkan mengalami kecederaan kritikal.
Kredit: Berita Harian