Seorang lelaki warganegara Malaysia ditahan pihak berkuasa Thailand selepas dipercayai cuba menyeludup dua laras senjata api jenis M16 bersama ratusan peluru ke negara ini.
![]()
Lelaki Warga Malaysia Mengaku Terima Upah RM10,000 Seludup M16 dan Peluru
Ketika disoal siasat, suspek berusia 42 tahun itu mengaku menerima upah sebanyak RM10,000 bagi melaksanakan kegiatan berkenaan. Menurut sumber polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sadao, lelaki itu turut mengakui sudah empat kali keluar masuk ke Thailand sebelum akhirnya dicekup dalam sekatan jalan raya di Danok pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Sadao, Kolonel Surachit Petchom berkata pemeriksaan ke atas kenderaan suspek menemukan dua laras raifal M16 yang dileraikan dan disembunyikan di bahagian tempat duduk belakang kereta. Selain itu, sebanyak 450 butir peluru pelbagai saiz turut ditemui dalam tujuh katrij.
![]()
Beliau menambah, ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah. Kes tersebut kini dalam siasatan lanjut di bawah operasi pencegahan jenayah penyeludupan senjata, dadah serta ancaman keselamatan di wilayah sempadan Thailand.
Kredit: Kosmo!