Seorang aktivis kemanusiaan dari Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotila (GSF) 2.0 dilaporkan masih menerima rawatan di Istanbul, Turkiye selepas mengalami kecederaan serius dipercayai akibat dipukul tentera Israel ketika ditahan dalam misi tersebut.
![]()
Aktivis Malaysia Dalam Misi GSF 2.0 Cedera Paru-Paru Bocor Didakwa Dipukul Tentera Israel
Razman Mat Ali, yang berasal dari Bayan Lepas, Pulau Pinang, disahkan mengalami Traumatic Pneumothorax atau paru-paru bocor dan kini berada di bawah pemantauan rapi pasukan perubatan di sebuah hospital di Istanbul. Keadaannya menyebabkan beliau tidak dapat pulang bersama 28 lagi delegasi Malaysia yang dibebaskan dan dijadualkan tiba di tanah air malam tadi.
Menurut Razman, beliau mengalami kesukaran bernafas serta sakit pada beberapa anggota badan ketika berada dalam tahanan. Katanya, keadaan menjadi lebih teruk apabila beliau cuba berbaring kerana bahagian dada terasa sangat sakit selain nafas menjadi pendek.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut selepas tiba di Istanbul mengesahkan paru-parunya bocor sehingga memerlukan prosedur pembedahan segera bagi mengelakkan komplikasi lebih serius yang boleh mengancam nyawa.
![]()
“Alhamdulillah selepas pembedahan, keadaan saya semakin baik berbanding ketika ditahan sebelum ini. Masa itu memang susah bernafas dan seluruh badan terasa sakit,” katanya ketika dihubungi.
Razman memaklumkan doktor menjangkakan beliau perlu berada di Istanbul sekurang-kurangnya dua minggu lagi bagi menjalani rawatan susulan serta pemantauan kesihatan sebelum dibenarkan menaiki penerbangan jarak jauh untuk pulang ke Malaysia.
Beliau turut mendakwa para aktivis berdepan layanan kasar sepanjang berada dalam tahanan di Ashdod. Dakwanya, mereka dipukul secara beramai-ramai ketika tangan diikat selain turut mengalami gangguan seksual dan layanan tidak berperikemanusiaan.
![]()
Katanya, segala insiden yang berlaku akan dijadikan bukti dalam usaha membawa isu kekejaman rejim Israel ke peringkat Mahkamah Antarabangsa melalui saluran undang-undang oleh pihak GSF.
“Kami yang cedera ini menjadi saksi hidup terhadap apa yang berlaku. Rakyat Gaza tidak mampu mempertahankan diri, jadi menjadi tanggungjawab kami untuk membawa perkara ini ke muka pengadilan,” katanya.
Difahamkan, Razman merupakan antara 29 rakyat Malaysia yang mengikuti pelayaran GSF 2.0 bagi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza sebelum kumpulan tersebut ditahan ketika berada di perairan antarabangsa.
Kredit: Kosmo!