Seorang jururawat pergigian berusia 64 tahun berjaya dalam tuntutannya di tribunal pekerjaan selepas mahkamah mendapati beliau dibuli dan sering menjadi mangsa jelingan di tempat kerja.

Jururawat Pergigian Menang Kes Buli, Terima Pampasan Lebih RM143,000

Mangsa, Maureen Howieson, menerima pampasan hampir £25,000 (sekitar RM143,000) susulan layanan buruk yang diterimanya di sebuah klinik pergigian sehingga terpaksa meninggalkan kerjaya yang diceburi lebih empat dekad.

Kes bermula apabila seorang ahli terapi pergigian baharu, Jisna Iqbal, didakwa sering menunjukkan sikap kurang sopan termasuk menjeling setiap kali Howieson berbicara. Jisna yang berasal dari India dan masih belum layak merawat pesakit di United Kingdom turut enggan melaksanakan beberapa tugasan asas di klinik, antaranya membersihkan tandas sebelum pemeriksaan.

Seorang doktor gigi, Daniela Siersch, mengesahkan tingkah laku tersebut apabila Jisna didakwa menolak arahan dengan alasan dirinya bergelar doktor gigi. Situasi tegang itu akhirnya memberi tekanan emosi besar kepada Howieson sehingga mengalami serangan panik dan menangis ketika bertugas, sebelum meletakkan jawatan pada Oktober 2024.

Pemilik klinik, Dr Fary Johnson Vithayathil, dikritik kerana gagal mengambil tindakan sewajarnya walaupun mengetahui masalah berkenaan sejak awal. Hakim Pekerjaan, Ronald Mackay, menegaskan pihak majikan membiarkan suasana kerja bermusuhan berlarutan, malah melanggar kontrak secara serius sehingga menyebabkan pemecatan tidak adil terhadap Howieson.

Tribunal turut menyatakan janji-janji yang diberikan majikan kepada mangsa tidak pernah ditunaikan, sekali gus memburukkan lagi keadaan.

Kredit: Sinar Harian

 

 

 

[fbcomments]