Pengalaman berdepan penyewa bermasalah menjadi detik hitam yang tidak akan dilupakan oleh Mohd Shafiq Zulkarnain, 33, apabila rumah sewanya di Bukit Jalil bertukar isu besar sehingga memaksa beliau membuat laporan polis.

Pemilik Rumah Trauma Penyewa Bermasalah, Tunggakan Ribuan Ringgit & Terpaksa Campur Tangan Polis

Menurut Mohd Shafiq, penyewa seorang wanita itu mula menduduki unit apartmennya pada Ogos tahun lalu dengan kadar sewaan RM1,300 sebulan. Pada awalnya, beliau tidak menjangka sebarang masalah kerana penyewa tersebut merupakan individu pertama yang membayar deposit. Namun, keadaan berubah selepas hanya tiga hingga empat bulan pertama.

“Pada mulanya bayaran masuk lewat, selepas itu tidak penuh dan akhirnya langsung tidak dibayar. Jumlah tunggakan mencecah ribuan ringgit. Lebih mengecewakan, nombor telefon kami disekat dan dia menggunakan orang tengah untuk berhubung. Bila kami pergi ke rumah, dia pula tiada. Itu yang buat kami buntu,” katanya.

Keadaan menjadi semakin rumit apabila tiada kerjasama diberikan walaupun pelbagai cara telah diusahakan. Akhirnya, Mohd Shafiq mengambil keputusan menularkan isu tersebut di media sosial sebagai jalan terakhir. Tindakan itu mendapat perhatian ramai, termasuk seorang individu yang mengaku sebagai ibu angkat penyewa berkenaan dan melangsaikan tunggakan pada Ogos lalu.

Walaupun hutang selesai, Mohd Shafiq tetap nekad menamatkan perjanjian sewaan. Notis pengosongan dikeluarkan dengan tarikh akhir 31 Ogos. Namun, apabila tiba masa yang ditetapkan, penyewa berkenaan masih enggan keluar dan malah menghantar wakil untuk memohon lanjutan tempoh.

“Saya tidak mahu beri muka lagi. Bila tarikh sudah sampai tapi dia masih tidak keluar, saya buat laporan polis. Paling mengejutkan, dia pula yang buat laporan mendakwa saya kunci rumah dan dia tidak boleh masuk untuk mengemas. Sedangkan itu tidak berlaku,” jelasnya.

Selepas siasatan dilakukan, pihak polis mendapati dakwaan tersebut tidak benar. Anggota polis kemudiannya mengiringi penyewa berkenaan pada tengah malam Sabtu lalu untuk mengemas dan mengosongkan rumah. Namun, ketika Mohd Shafiq memeriksa unit tersebut keesokan harinya, masih terdapat barangan yang ditinggalkan di koridor.

Walaupun berdepan pengalaman pahit, Mohd Shafiq menganggap isu itu sebagai pengajaran besar buat dirinya. Menurutnya, dia enggan mendedahkan wajah atau identiti penyewa terbabit walaupun pernah diejek. Namun, beliau berharap pemilik rumah lain dapat belajar daripada kesilapannya.

“Kontrak sewaan kena buat dengan betul, jangan biar longgar. Dalam kes saya, ada kontrak tetapi dia berdalih dan tidak mahu tandatangan. Selain itu, semak latar belakang penyewa, ambil deposit lebih daripada sebulan. Sebab saya ambil deposit sebulan sahaja, akhirnya saya yang terpaksa keluarkan duit sendiri untuk kos pembersihan,” ujarnya.

Kredit: mStar & TikTok shafiqcute_official

 

[fbcomments]