Seorang pemandu berdepan insiden tidak dijangka apabila dikenakan saman oleh pihak berkuasa selepas gagal membuktikan lesen memandu sah melalui aplikasi MyJPJ semasa pemeriksaan jalan raya, meskipun mendakwa dokumen tersebut telah diperbaharui lebih setahun lalu.

Lesen Fizikal Masih Sah, Namun Pemandu Tetap Disaman Selepas Aplikasi MyJPJ Papar Tamat Tempoh

Menurut perkongsiannya di Facebook, lelaki berusia 40-an itu menceritakan detik cemas apabila aplikasi MyJPJ di telefonnya berulang kali memaparkan status lesen tamat tempoh sejak 2023, walaupun beliau pernah memperbaharui dokumen tersebut di kiosk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada tahun sama.

Keadaan bertambah rumit kerana beliau tidak membawa dompet berisi lesen fizikal yang ditinggalkan di kenderaan lain, menyebabkan anggota bertugas tetap mengeluarkan saman terhadapnya.

Individu terbabit mendakwa, selepas pulang untuk mendapatkan lesen fizikal sebagai bukti, beliau kembali ke lokasi pemeriksaan namun mendapati sekatan jalan raya telah berakhir. Beliau kemudian menuju ke Ibu Pejabat Polis Daerah berdekatan bagi menjelaskan situasi sebenar, namun mendakwa berdepan karenah birokrasi apabila pihak berkuasa menuduh lesen fizikalnya baharu diperbaharui kerana masih kelihatan ‘elok’.

Hal ini mencetuskan rasa tidak puas hati kerana menurutnya, rekod sistem JPJ jelas menunjukkan pembaharuan telah dilakukan sejak 2023.

Beliau turut meluahkan rasa kecewa kerana proses menyelesaikan isu itu memakan masa dan memerlukan penjelasan berulang kali, termasuk menunggu pegawai bertugas untuk semakan lanjut.

Namun, dalam perkembangan terbaru, pemandu tersebut memaklumkan kes itu akhirnya diselesaikan secara baik selepas dihubungi pegawai trafik IPD berkenaan. JPJ juga memberi jaminan saman berjumlah RM300 yang dikeluarkan terhadapnya akan dibatalkan, sekali gus menamatkan kekeliruan yang tular di media sosial.

Kredit: Facebook Mije Snakemaster

 

[fbcomments]