Sembilan rakyat Malaysia kini ditahan tentera Israel selepas kapal yang mereka naiki dalam misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) ke Gaza dipintas sekitar jam 10.50 pagi waktu Malaysia.
![]()
9 Aktivis Malaysia Ditahan Tentera Israel Ketika Sertai Misi Freedom Flotilla ke Gaza
Lapan daripada mereka berada di atas kapal Conscience iaitu ketua misi, Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali; Dr Fauziah Hassan; Dr Hafiz Sulaiman; Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi; wartawan Astro AWANI, Syafik Shukri Abdul Jalil; dua pensyarah universiti, Prof Dr Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail; serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar.
Seorang lagi, Dr Maziah Muhammad, pula menaiki kapal Umm Saad.
![]()
Mereka merupakan sebahagian daripada gelombang ketiga flotilla yang bergerak secara berperingkat ke Gaza membawa bantuan serta disertai wartawan antarabangsa, ahli politik, pakar perubatan dan aktivis dari pelbagai negara.
Misi kali ini melibatkan 10 bot yang berlepas dari Itali pada 27 September lalu, manakala kapal Conscience memulakan pelayaran dari Porto Otranto pada 30 September. Secara keseluruhan, lebih 150 peserta dari 25 negara menyertai misi berkenaan dengan MyCARE mengetuai delegasi Malaysia.
Sebelum ini, gelombang pertama flotilla pada Jun lalu turut menyaksikan aktivis alam sekitar Greta Thunberg ditahan Israel, manakala gelombang kedua Global Sumud Flotilla juga berakhir dengan penahanan peserta namun kesemua mereka telah dibebaskan.
Kredit: Berita Harian