Seorang pempengaruh wanita warga Taiwan ditemukan tidak bernyawa di sebuah hotel mewah di Jalan Conlay, Kuala Lumpur pada 22 Oktober lalu, dengan siasatan kini beralih arah selepas polis mengesahkan kes itu diklasifikasikan sebagai kes bunuh.
![]()
Kes Pempengaruh Taiwan Ditemui Mati di Hotel Jalan Conlay Diklasifikasi Semula Sebagai Kes Bunuh
Mangsa dikenali sebagai Hsieh Yun Hsin, 31, dilaporkan ditemui terbaring di dalam tab mandi oleh penyanyi rap tempatan, Wee Meng Chee atau Namewee, 42, yang turut berada di bilik berkenaan ketika kejadian. Difahamkan, wanita itu tiba di Malaysia dua hari sebelum insiden, iaitu pada 20 Oktober melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA1).
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, memaklumkan bahawa kes yang pada awalnya disiasat sebagai Kematian Mengejut (SDR) kini diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan susulan penemuan bukti baharu.
![]()
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Namewee yang sebelum ini ditahan bagi membantu siasatan selepas didapati memiliki dan menggunakan dadah, difahamkan akan ditahan semula dalam masa terdekat berikutan perkembangan terbaharu siasatan tersebut. Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk proses bedah siasat bagi membantu siasatan lanjut.
Kredit: Harian Metro