Kes pembunuhan tragis membabitkan rakyat Malaysia, Mohd Fuad Fahmie Ghazali yang ditembak sebanyak 18 kali di Kampung Bering, Sungai Golok, Thailand pada 1 November lalu terus menjadi perhatian selepas polis mengesahkan suspek utama merupakan bekas pemain import pasukan Kelantan FA.
![]()
Dendam Lama Disyaki Punca Kes Tembak 18 Das di Golok
Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, lelaki berusia 31 tahun itu memiliki dua kerakyatan dan telah menyerah diri di Balai Polis Sungai Golok pada Ahad lalu bersama pistol yang digunakan dalam kejadian.
Siasatan awal pihak berkuasa Thailand tidak menolak kemungkinan insiden berdarah itu berpunca daripada dendam lama antara suspek dan mangsa. Jurucakap polis memaklumkan, kes berkenaan juga dikaitkan dengan isu hutang yang masih dalam siasatan terperinci.
“Siapa yang berhutang dengan siapa masih dalam siasatan. Namun, kes ini jelas berkait dengan urusan hutang,” katanya sambil memaklumkan suspek kini direman selama 80 hari di Balai Polis Sungai Golok sebelum dipindahkan ke Penjara Pusat Narathiwat.
![]()
Dalam pada itu, sumber dari Thailand turut mendedahkan bahawa kira-kira empat bulan lalu, suspek pernah diserang hingga mengalami kecederaan parah akibat ditetak ketika menuntut hutang, menyebabkan dia menerima lebih 120 jahitan di tangan dan 20 jahitan di kepala serta dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Golok selama sebulan.
Polis kini sedang meneliti sama ada insiden terdahulu itu menjadi punca kepada tindakan balas dendam yang membawa kepada pembunuhan tersebut.
Kredit: Kosmo!