Seorang gadis dari Perak yang bekerja di perantauan tanpa ditemani keluarga berkongsi pengalaman menyentuh hati apabila menerima bantuan luar biasa daripada seorang pemandu Grab ketika dia jatuh sakit secara tiba-tiba.

Kisah itu dikongsi pemilik akaun Threads, Mirzahiraa, yang menceritakan detik cemas yang dialaminya pada awal pagi Ahad lalu.

Pemandu Grab Prihatin Bantu Gadis Sakit Seorang Diri Hingga Ke Hospital

Menurut Mirzahiraa, dia terjaga pada waktu subuh dalam keadaan menggigil dan tidak sihat sebelum turun ke lobi untuk bertanya kepada penghuni lain mengenai klinik yang beroperasi pada hari itu. Bagaimanapun, sebaik tiba di klinik yang dimaksudkan, premis berkenaan ditutup. Usahanya menghubungi teman lelakinya juga gagal apabila panggilannya tidak dijawab. Dalam keadaan lemah dan cemas, dia membuat keputusan untuk menempah perkhidmatan Grab walaupun hanya membawa wang sebanyak RM30.

Setibanya pemandu Grab itu, lelaki berkenaan segera bertanya mengenai keadaan kesihatan gadis tersebut dan meyakinkan bahawa soal bayaran tidak menjadi masalah. Awalnya, pemandu itu bercadang untuk menghantarnya ke hospital swasta, namun mengambil kira kebimbangan Mirzahiraa, dia setuju untuk dibawa ke hospital kerajaan.

Lebih mengharukan, pemandu tersebut bukan sahaja menghantar gadis itu sehingga ke pintu Jabatan Kecemasan, malah turut membelikannya sarapan dan memberikan sedikit wang belanja sebagai tanda prihatin.

Mirzahiraa berkata, pemandu Grab itu terus menghubunginya melalui WhatsApp selepas kejadian untuk memastikan keadaan kesihatannya serta menawarkan bantuan tambahan. Gadis itu meluahkan rasa syukur terhadap kebaikan lelaki tersebut dan menyeru orang ramai yang menggunakan perkhidmatan pemandu itu agar memberikan penilaian lima bintang sebagai tanda penghargaan.

Kisah itu turut mendapat reaksi positif netizen yang tersentuh dengan sikap prihatin pemandu berkenaan, sekali gus menunjukkan bahawa masih ramai insan berhati mulia di sekeliling kita, terutama dalam situasi genting dan memerlukan bantuan segera.

Kredit: Threads Mirzahiraa

[fbcomments]