Empat lelaki, termasuk seorang graduan dalam bidang perundangan, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Taiping selepas didakwa terlibat dalam cubaan mencuri kabel bawah tanah milik Telekom Malaysia (TM) pada awal pagi Sabtu lalu.
![]()
Graduan Undang-Undang Antara 4 Lelaki Didakwa Cuba Curi Kabel TM di Taiping
Kesemua tertuduh, iaitu A Y Shiman Narayan, 41; B Sujenthrran, 39; M Indran, 38; dan M Sujendran, 39, menafikan pertuduhan tersebut ketika ia dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Ahmad Hamdi Mustafar.
Shiman yang bekerja dalam sektor minyak dan gas, bersama tiga rakannya itu, dituduh membuka penutup lubang kabel di tepi Jalan Kamunting–Batu Kurau berhampiran Kolej Vokasional Taiping pada jam 1.50 pagi, 15 November lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan bersama Seksyen 511 dan Seksyen 34, yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya, manakala kesalahan berulang boleh dikenakan hukuman tambahan termasuk sebatan.
![]()
Timbalan Pendakwa Raya Nazura Azman mencadangkan jaminan RM8,000 setiap tertuduh namun pihak pembelaan, diketuai peguam V S Singaravadivel, memohon jumlah lebih rendah dengan mengambil kira situasi keluarga serta kemampuan kewangan anak guam. Mahkamah akhirnya menetapkan jaminan RM2,500 setiap seorang beserta seorang penjamin, sebelum menetapkan tarikh 6 Januari depan bagi sebutan semula dan penyerahan dokumen.
Peguam turut memaklumkan latar belakang setiap tertuduh, termasuk Sujenthrran yang menanggung empat anak dengan pendapatan RM2,000 sebagai penyelia syarikat keselamatan; Indran, juruelektrik berpendapatan RM2,000 dan mempunyai tiga anak termasuk seorang bayi; serta Sujendran yang bekerja sebagai pemandu lori dan menyara anak berusia enam tahun.
Shiman pula, yang pernah menamatkan pengajian dalam bidang undang-undang, kini menyara empat anak kecil dengan pendapatan RM3,000 dan dikatakan berhasrat melanjutkan pelajaran ke United Kingdom.
Kredit: Harian Metro