Mayat seorang pemuda yang dilaporkan terjatuh dari Kilometer 2.8, Jambatan Pulau Pinang pada Ahad lalu akhirnya ditemukan terapung berhampiran jeti di Pengkalan Weld pada jam 9.35 pagi semalam.
Mangsa, Elmi Nu Zamani Aizat Azim, 25, dijumpai masih lengkap berpakaian seluar jeans dan kemeja-T putih selepas hampir 40 jam dilaporkan hilang.
![]()
Pemuda Terjatuh Dari Jambatan Pulau Pinang Ditemui Lemas, Isteri Dedah Perubahan Tingkah Laku Arwah
Isterinya, Nurul Natasha Amyra Ishak, 19, ketika ditemui media memaklumkan bahawa suaminya menunjukkan perubahan ketara sejak dua minggu kebelakangan ini. Menurutnya, arwah kerap meracau dan mendakwa seperti ada pihak yang mengejar dirinya, sehingga keluarga terpaksa membawa beliau mendapatkan rawatan secara perubatan Islam dan di hospital.
Keadaan itu turut mendorong pasangan tersebut berpindah dari rumah sewa mereka di Padang Serai ke kediaman ibunya di Bertam pada minggu lalu.
Nurul Natasha berkata, pada hari kejadian, suaminya keluar dengan alasan ke kedai dobi untuk mengambil pakaian, namun dia tidak menyangka ia menjadi pertemuan terakhir mereka.
![]()
Beliau hanya mengetahui insiden tersebut selepas menerima panggilan daripada rakan arwah sekitar jam 8 malam, sebelum bergegas mencari maklumat lanjut.
Ketika berkongsi perasaannya, wanita yang kini hamil anak ketiga itu merayu orang ramai agar tidak membuat spekulasi mengenai kejadian tersebut. Katanya, tuduhan dan andaian hanya menambah tekanan terhadap dirinya yang sedang berdepan kedukaan dan kemurungan.
![]()
Beliau menegaskan bahawa keluarga mereka tidak pernah membincangkan urusan rumah tangga dengan sesiapa, dan arwah juga tidak pernah menceritakan sebarang masalah sebelum kejadian.
Walaupun masih terkejut, Nurul Natasha menyatakan bahawa dia reda dengan ketentuan Ilahi dan berjanji akan menjaga amanah yang ditinggalkan suaminya, termasuk dua anak kecil mereka dan kandungan yang sedang membesar.
Kredit: Kosmo!