Kegembiraan menanti kelahiran anak sulung bertukar duka bagi seorang pasangan apabila bayi mereka meninggal dunia selepas dilahirkan dalam keadaan songsang di kediaman mereka pada 19 November lalu.
![]()
Video di bawah:
https://www.facebook.com/share/v/1AP9Vn7wt7/
Suami Isteri Pilu, Bayi Sulung Meninggal Dunia Selepas Lahir Secara Songsang
Menurut perkongsian Pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ), Wan Cai, keluarga tersebut mengalami detik cemas apabila si ibu tiba-tiba mengadu sakit yang menandakan proses bersalin akan bermula. Panggilan pertama ke talian kecemasan 999 tidak mendapat jawapan, menyebabkan suami mangsa panik. Ketika itu, si ibu yang menahan kesakitan bergerak ke bilik air dan proses kelahiran berlaku secara tiba-tiba.
Wan Cai menjelaskan bahawa bayi dilahirkan dalam posisi songsang, dengan tubuh bayi keluar dari bahagian kaki hingga ke paras leher. Suami mangsa memegang bayi yang masih tersangkut pada rahim, namun tidak berani menariknya walaupun diminta oleh isterinya. Dalam keadaan sakit dan lemah, si ibu terus berusaha sehingga kepala bayi berjaya dilahirkan sepenuhnya.
Apabila panggilan kecemasan berjaya dihubungi semula, suami dibimbing untuk melakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) pada bayi. Bagaimanapun, usaha tersebut tidak membuahkan hasil. Petugas perubatan yang tiba kemudian mengesahkan bayi tersebut telah meninggal dunia.
![]()
Ibu dan bayi dibawa ke Hospital Al-Sultan Abdullah, Universiti Teknologi MARA (UiTM) untuk tindakan lanjut termasuk bedah siasat. Jasad bayi, Muhammad Amir Faris, kemudian diserahkan kepada UKVJ untuk pengurusan sebelum dikebumikan.
Wan Cai menceritakan detik menyentuh hati ketika si bapa diberi peluang untuk memandikan anaknya sendiri.
“Si bapa kelihatan menitis air mata berkali-kali, meratapi kehilangan anak yang dinanti,” ujarnya. Jasad Muhammad Amir Faris telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang selepas solat Zuhur pada 20 November. Dalam suasana penuh pilu, si ibu turun dari kereta untuk melihat pusara anaknya sambil menangis dan mengucapkan kata-kata “Maafkan mama”.
![]()
Selain itu, Wan Cai menzahirkan doa agar pasangan berkenaan diberikan kekuatan menghadapi kehilangan ini. Beliau turut memaklumkan bahawa kos liang lahad bagi bayi itu, berjumlah RM250, ditanggung melalui dana Wakaf Liang Lahad.
“Alhamdulillah, amanah yang diberikan telah kami tunaikan dengan sepenuh hati. Semoga ibu bapa dikurniakan ketabahan dalam menghadapi ujian kehilangan anak tercinta,” jelas beliau.
Kredit: Facebook Mr Wan Cai Official