Kisah seorang gadis yang bernama Mirzahiraa, kembali tular selepas beliau berkongsi pertemuan semula dengan seorang pemandu Grab yang pernah membantunya ketika sedang sakit dan berseorangan di perantauan.

Pertemuan itu diadakan selepas majlis konvokesyennya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di mana beliau turut membawa kedua ibu bapanya untuk bertemu lelaki yang dianggap berjasa besar dalam hidupnya.

Gadis Hargai Jasa Lama, Pemandu Grab Bertemu Ibu Bapanya Selepas Majlis Konvokesyen

Dalam perkongsian di platform Threads, Mirzahiraa memuat naik beberapa gambar pertemuan tersebut sambil mengimbas kembali insiden lama yang pernah mendapat perhatian ramai.

“Korang ingat tak Pakcik grab viral sebab tolong saya haritu hehe. We met yesterday. Lepas je majlis graduation, keluar bawak family jumpa pakcik,” tulisnya.

Menurutnya, pemandu berkenaan membantu tanpa ragu ketika dia hanya mempunyai RM30, mengalami kesakitan dan tiada sesiapa untuk bergantung. Lelaki itu menghantarnya terus ke pintu kecemasan, membelikan sarapan, memberikan sedikit wang tambahan serta terus bertanya khabar selepas kejadian.

Perkongsian terbaru itu menerima ribuan reaksi, dengan ramai memuji tindakan Mirzahiraa kerana menghargai bantuan yang pernah diberikan. Orang ramai turut memuji sikap prihatin pemandu e-hailing tersebut yang membantu tanpa mengharapkan balasan.

Kisah berkenaan sekali lagi mengingatkan orang ramai tentang nilai keprihatinan dan kepentingan membantu mereka yang memerlukan.

Kredit: Threads mirzahiraa

 

[fbcomments]