Seorang pelajar tingkatan empat direman selama tiga hari bagi membantu siasatan berhubung insiden seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun yang mendakwa dipukul sehingga tidak sedarkan diri di sebuah asrama sekolah pada awal pagi Isnin.
![]()
Remaja 16 Tahun Pengsan Dipukul, Seorang Pelajar Direman Tiga Hari
Menurut laporan, mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam tandas oleh seorang guru sebelum dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk menerima rawatan. Ibu mangsa dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan pada kira-kira jam 9.05 pagi, dan pemeriksaan mendapati terdapat kesan lebam pada bahagian badan anaknya.
Siasatan awal pihak polis mendapati insiden dipercayai berlaku sekitar 12.10 tengah malam. Kejadian dikatakan berpunca daripada rasa tidak puas hati seorang pelajar yang mendakwa mangsa telah memburukkan rakannya. Susulan itu, pelajar berkenaan mengajak tiga lagi rakan untuk mencari mangsa sebelum berlaku kejadian tersebut.
![]()
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan, memaklumkan empat pelajar berusia antara 16 hingga 17 tahun ditahan selepas laporan dibuat. Bagaimanapun, hanya seorang suspek direman, manakala tiga lagi dibebaskan oleh Mahkamah Sungai Petani pada Khamis.
Beliau turut menjelaskan bahawa insiden ini merupakan kejadian pertama seumpamanya di asrama tersebut dan kawasan kejadian tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV). Kes kini disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan.
Kredit: Sinar Harian