Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menzahirkan komitmen tegas untuk bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa susulan kematian kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes), Syamsul Haris Shamsudin, yang kini disiasat sebagai kes bunuh.
![]()
UTM Janji Kerjasama Penuh Siasatan Kes Bunuh Kadet Palapes Syamsul Haris
Dalam kenyataan rasmi, universiti itu menegaskan bahawa tidak ada mana-mana individu yang akan dilindungi sekiranya didapati mempunyai kaitan dengan insiden tragis tersebut. UTM turut menegaskan prinsip ketelusan sebagai keutamaan dan meletakkan sepenuh kepercayaan kepada polis serta angkatan tentera bagi melengkapkan siasatan.
“UTM menjunjung prinsip ketelusan dan kedaulatan undang-undang, serta meletakkan kepercayaan penuh kepada pihak berkuasa untuk melengkapkan siasatan bagi memastikan keadilan ditegakkan,” tulisnya.
![]()
Kematian Syamsul Haris, yang menghembuskan nafas terakhir pada 28 Julai di Hospital Kota Tinggi selepas menjalani latihan di Pusat Latihan Peperangan Tentera Darat, Ulu Tiram, kembali mendapat perhatian apabila Peguam Negara semalam mengarahkan kes itu diklasifikasikan semula sebagai bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Allahyarham dikebumikan keesokan harinya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Hulu.
![]()
Pada 14 Ogos lalu, ibunya, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, memfailkan notis usul di Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi membolehkan kubur anaknya dibuka semula untuk bedah siasat kedua serta memohon inkues dijalankan.
UTM dalam pada itu mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan menyeru semua pihak agar tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.
Kredit: Facebook Universiti Teknologi Malaysia (UTM)