Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun berdepan detik cemas apabila kereta Proton Satria Neo yang dipandunya tercampak ke dalam gaung akibat kejadian tanah runtuh di Kilometer 45, Jalan Gua Musang–Lojing awal pagi Rabu.

Hampir Maut, Satria Neo Terjunam Ke Gaung Gara-Gara Tanah Runtuh Awal Pagi

Difahamkan mangsa ketika itu sedang dalam perjalanan dari Cameron Highlands menuju ke Pasir Puteh sebelum insiden berlaku kira-kira jam 5 pagi.

Menurut Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo, kenderaan mangsa dipercayai tidak sempat mengelak runtuhan tanah yang menutupi laluan, menyebabkan kereta terbabit hilang kawalan dan terjunam ke dalam gaung.

Remaja itu mengalami kecederaan pada tangan kiri yang disahkan patah, sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Pos Brooke untuk mendapatkan rawatan.

Kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan siasatan lanjut sedang diteruskan.

Dalam masa yang sama, pihak polis mengingatkan orang ramai supaya mematuhi arahan penutupan jalan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mengelakkan risiko kemalangan, selain perbuatan mengingkari arahan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis turut meminta saksi atau individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang di talian 09-9121222 atau 013-3010408.

Kredit: Sinar Harian

 

[fbcomments]