Dunia politik Sabah dikejutkan dengan pemergian Ahli Parlimen Kinabatangan merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang meninggal dunia di sebuah hospital swasta pada awal pagi Jumaat.
![]()
Dunia Politik Sabah Berduka, Bung Moktar Radin Meninggal Dunia
Beliau yang berusia 66 tahun, turut memegang jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag, disahkan menghembuskan nafas terakhir pada 1.46 pagi ketika dirawat di Hospital Gleneagles. Berita duka itu dimaklumkan sendiri oleh anaknya, Naim Kurniawan Moktar, menerusi satu hantaran di laman Facebook rasmi beliau.
“Assalamualaikum. Dengan penuh dukacita dimaklumkan bahawa ayahanda kami, Moktar bin Radin, telah menghembuskan nafas terakhir pada 05 Disember 2026, jam 1.46 pagi (14 Jamadilakhir 1447H). Mohon semua mendoakan agar roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang beriman. Al-Fatihah,” tulisnya.
![]()
Sebelum pemergian beliau, media melaporkan bahawa Allahyarham dimasukkan ke hospital pada tengah hari Khamis, namun puncanya tidak diperincikan ketika itu. Tiada kenyataan rasmi dikeluarkan mengenai tahap kesihatannya, namun laporan media memetik kenyataan Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin, yang menyatakan bahawa Allahyarham mengalami kegagalan fungsi buah pinggang serta jangkitan paru-paru.
Sementara itu, isterinya, pelakon Datin Seri Zizie Ezette, berkongsi luahan hati yang menyentuh perasaan di Instagram, menceritakan kebaikan dan sifat penyayang arwah sepanjang 16 tahun perkahwinan mereka. Beberapa jam sebelum berita pemergian itu tersebar, beliau sempat memuat naik doa dan harapan ketika suaminya sedang bertarung dengan masalah kesihatan.
![]()
Allahyarham baru sahaja mempertahankan kerusi DUN Lamag pada PRN Sabah ke-17, kemenangan yang menjadikan pemergiannya turut mendapat perhatian meluas dalam kalangan masyarakat. Untuk rekod, pasangan ini mendirikan rumah tangga pada tahun 2009 dan dikurniakan tiga cahaya mata selain mempunyai dua anak angkat.
Kredit: Berita Harian