Seorang lelaki bertindak melontarkan kata-kata kesat terhadap anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas tidak berpuas hati apabila isterinya dikenakan notis saman dalam satu sekatan jalan raya di Kilometer 20 Lebuhraya Seremban–Port Dickson (SPDH) menghala ke Seremban, kelmarin.
Kejadian berlaku sekitar jam 4.37 petang ketika anggota JPJ sedang menjalankan pemeriksaan rutin terhadap kenderaan yang melalui laluan tersebut.
![]()
Lelaki Hina Anggota JPJ Ketika Sekatan Jalan Raya, Laporan Polis Dibuat
Menurut Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf, kejadian bermula apabila sebuah MPV jenis Perodua Alza berwarna hitam yang dipandu seorang wanita ditahan untuk pemeriksaan. Hasil semakan mendapati nombor pendaftaran kenderaan berkenaan tidak mematuhi spesifikasi yang ditetapkan, menyebabkan notis arah periksa dikeluarkan mengikut Seksyen 61(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Bagaimanapun, ketika notis diserahkan kepada pemandu, suaminya yang berada di tempat duduk penumpang tiba-tiba mula menghamburkan kata-kata kesat dan memaki anggota JPJ yang bertugas. Lelaki itu kemudian meninggalkan lokasi selepas melakukan provokasi tersebut.
![]()
JPJ Negeri Sembilan dalam kenyataannya menegaskan bahawa tindakan menghina atau mengugut anggota penguat kuasa dianggap serius kerana ia bukan sahaja bersifat tidak beretika, malah boleh menjejaskan keselamatan pegawai serta mengganggu kelancaran operasi di lapangan. Sehubungan itu, anggota terlibat telah membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan diteruskan mengikut peruntukan undang-undang.
Hanif turut mengingatkan orang awam supaya memberikan kerjasama penuh ketika pemeriksaan dilakukan, memandangkan semua operasi penguatkuasaan dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan. JPJ juga menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana perbuatan yang menghalang, mengugut atau menghina penjawat awam yang sedang menjalankan tugas rasmi.
Kredit: Harian Metro