Sepasang suami isteri berdepan tindakan undang-undang selepas Mahkamah Majistret Melaka menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM400 setiap seorang atas kesalahan mencuri barangan bernilai RM70.69 di sebuah pasar raya dua tahun lalu.

Hukuman itu diputuskan selepas kedua-duanya, Tengku Azman Tengku Jalal, 46, dan Siti Nurulaini Johari, 40, mengaku bersalah di hadapan Majistret Nur Afiqah Radiah Zainurin.

Pasangan Di Melaka Didenda RM400 Selepas Curi Ikan, Kicap Dan Arak

Mengikut pertuduhan, pasangan tersebut didakwa mencuri beberapa barangan di pasar raya Lotus Cheng, Taman Paya Rumput Utama, pada 27 September 2023 sekitar jam 6.30 petang. Antara barangan diambil termasuk 12 unit WC precut seberat 1.666 gram, lima ekor ikan cencaru, dua deodoran, kicap serta empat tin minuman keras, dengan jumlah keseluruhan RM70.69.

Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Aliyah Ahmad Kamarulnajuib, memohon agar mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada mereka yang melakukan kesalahan mencuri dalam premis perniagaan.

Namun, peguam pasangan berkenaan, Amritpal Singh, merayu agar hukuman diringankan dengan alasan tekanan kewangan menjadi punca kejadian. Beliau memaklumkan bahawa Siti Nurulaini tidak bekerja dan menghidap penyakit buah pinggang, manakala suaminya bekerja sebagai penghantar barang untuk menanggung tiga anak mereka.

Menurut peguam, barangan dicuri itu merupakan keperluan asas dan pasangan tersebut telah insaf.

Selepas mempertimbangkan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah akhirnya menjatuhkan hukuman penjara sehari serta denda RM400 bagi setiap tertuduh, atau dua bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.

Kredit: Sinar Harian

 

 

 

 

[fbcomments]