Restoran pertama milik pempengaruh popular Khairul Aming, Rembayung, belum lagi memulakan operasi rasmi namun telah menerima beberapa ulasan negatif di Google Reviews daripada individu tidak bertanggungjawab.
![]()
Restoran Rembayung Milik Khairul Aming Terima Reviu Negatif Walaupun Belum Dibuka
Reviu tersebut mencatatkan penilaian satu bintang dan mendakwa perkhidmatan restoran itu tidak memuaskan, meskipun Rembayung hanya akan dibuka kepada orang ramai pada Januari tahun hadapan.
Tindakan itu mendapat perhatian pengguna media sosial selepas seorang pengguna Threads, @xnenorx, memuat naik tangkap layar yang menunjukkan beberapa ulasan palsu, termasuk dakwaan kononnya ada pelanggan datang dari Sabah menaiki kapal terbang tetapi kecewa kerana restoran tidak dibuka.
Pengguna itu meluahkan rasa kesal terhadap perbuatan berkenaan, yang disifatkan tidak wajar kerana dilakukan sebelum restoran mula beroperasi.
Situasi tersebut turut mengundang reaksi netizen yang menganggap tindakan memberi reviu palsu adalah tidak beretika dan boleh menjejaskan imej Rembayung dalam platform carian global. Mereka bimbang reputasi restoran itu akan tercemar, terutama apabila Google Reviews tidak membuang ulasan yang ditinggalkan pengguna secara sembarangan.
![]()
Untuk rekod, Rembayung dibangunkan di atas tanah seluas 8,000 kaki persegi di Kampung Baru, Kuala Lumpur, dengan kos pembangunan mencecah RM4 juta. Projek yang mengambil masa setahun untuk disiapkan itu berkonsepkan bangunan dua tingkat semi rumah kaca dan mampu menampung lebih 250 pelanggan pada satu-satu masa.
Kredit: Threads xnenorx