Empat lelaki dipercayai ahli keluarga kepada individu yang terlibat dalam insiden tular melibatkan kekerasan menggunakan topi keledar telah ditahan polis selepas disyaki menghalang tugas anggota keselamatan ketika proses tangkapan suspek dijalankan di Kota Kinabalu, Sabah.
![]()
Empat Individu Ditahan Disyaki Halang Tugas Polis Ketika Tangkapan Suspek
Menurut sumber, kejadian berlaku kira-kira jam 6.45 petang semalam ketika sepasukan anggota polis Daerah Kota Kinabalu sedang menjalankan tugas untuk menangkap dan membawa seorang suspek bagi membantu siasatan kes kecederaan yang dilaporkan sebelum ini. Empat lelaki berusia lingkungan 30 hingga 50-an itu didakwa bertindak agresif dengan menghalang pergerakan kenderaan polis, termasuk menggunakan kayu golf.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, siasatan awal mendapati individu terbabit bukan sahaja mengeluarkan kata-kata kesat, malah cuba membuka pintu kenderaan polis serta menendang dan memukul kenderaan tersebut sehingga menjejaskan kelancaran tugas pihak berkuasa.
Susulan kejadian itu, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas. Polis juga akan memohon perintah reman ke atas kesemua suspek di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan lanjut.
![]()
Selain itu, kesemua individu terbabit akan diarahkan menjalani ujian saringan air kencing dan polis turut akan merakam keterangan saksi kejadian. Orang ramai dinasihatkan agar tidak bertindak mengikut emosi serta memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi memastikan siasatan berjalan lancar.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki telah ditahan susulan penularan klip video yang memaparkan suspek memukul sekumpulan pelajar menggunakan topi keledar serta menendang mereka di sebuah premis perniagaan sekitar Kota Kinabalu.
Kredit: Sinar Harian