Seorang lelaki warga emas berstatus duda mencetuskan perhatian pihak berkuasa agama selepas didapati membawa seorang wanita muda ke kediamannya di Johor Bahru dengan alasan memerlukan penjagaan kerana masalah kesihatan.

Duda 60-an Dakwa Tidak Sihat, Wanita 20-an ‘Menjaga’ Di Rumah

Menurut Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), tindakan penguatkuasaan dijalankan sekitar jam 2.15 pagi Selasa susulan maklumat awam yang diterima. Hasil serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat itu mendapati seorang wanita berusia dalam lingkungan 20-an sedang berada di ruang tamu, baring di atas sofa dengan televisyen masih terpasang. Wanita tersebut berpakaian sopan, mengenakan seluar panjang dan baju T berlengan panjang.

Siasatan awal mendapati lelaki berkenaan berusia sekitar 60-an, merupakan seorang duda, mempunyai cucu dan bekerja sebagai pekebun. Wanita yang bersamanya pula dikenal pasti masih bujang, berasal dari utara Semenanjung dan menetap di Johor Bahru bagi tujuan pekerjaan. Ketika serbuan dibuat, hanya mereka berdua berada di dalam rumah yang mempunyai tiga bilik itu.

Menurut penjelasan lelaki terbabit, dia menghidap penyakit ‘dua serangkai’ dan mendakwa wanita berkenaan hadir ke rumahnya bagi membantu menjaga serta merawatnya kerana bimbang berada bersendirian dalam keadaan tidak sihat. Dia turut menyatakan bahawa penyakit tersebut boleh menyebabkan dirinya pitam dan mengalami gangguan penglihatan secara tiba-tiba.

Bagaimanapun, JAINJ memaklumkan lelaki tersebut dilihat terdiam apabila dimaklumkan pihak penguat kuasa mempunyai maklumat bahawa dia sendiri memandu sejauh lebih 50 kilometer untuk menjemput wanita itu pada waktu malam. Lelaki berkenaan juga didakwa menghantar wanita tersebut pulang ke rumah sewanya keesokan hari. Perkara itu menimbulkan persoalan terhadap alasan kesihatan yang dikemukakan, memandangkan dia mampu memandu jarak jauh dalam keadaan gelap dan hujan lebat.

Dalam perkembangan sama, pasangan terbabit turut mengakui mempunyai perancangan untuk mendirikan rumah tangga. Namun mereka sedar hubungan tersebut sukar diterima masyarakat umum berikutan jurang usia yang ketara antara mereka.

Kredit: Sinar Harian

 

 

 

[fbcomments]