Niat sebuah keluarga untuk menikmati cuti sekolah di Pantai Kemayang, Bachok, berakhir dengan tragedi apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai lemas ketika mandi laut di pantai berkenaan.
![]()
Kanak-Kanak 9 Tahun Ditemukan Lemas Selepas Hilang Ketika Mandi Di Pantai Kemayang
Mangsa, Muhamad Irfan Mohd Afendi, dilaporkan hilang pada Selasa kira-kira jam 6.40 petang ketika berada di pantai bersama ibu bapanya dan seorang lagi adik-beradik. Bapanya, Mohd Afendi Ya, 44, memaklumkan mereka ke lokasi itu bagi memenuhi permintaan Irfan yang ingin mandi pantai sebelum berkhatan pada minggu hadapan.
Menurutnya, ketika keluarga itu bersiap untuk pulang dan memanggil anaknya, dia menyedari Irfan semakin dibawa menjauh dari gigi pantai akibat ombak yang kuat. Dalam keadaan cemas, beliau melihat anaknya terkapai-kapai sambil melambai tangan meminta pertolongan sebelum tenggelam dari pandangan.
“Saya cuba capai tangan anak, tetapi tidak sempat. Dia hilang di depan mata saya,” katanya ketika menceritakan detik mencemaskan kejadian tersebut.
![]()
Susulan kejadian itu, Balai Bomba dan Penyelamat Bachok menerima panggilan kecemasan pada jam 7.14 malam dan segera menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR). Penyelia Operasi, PBKI Mohd Khairul Fais Ariffin memaklumkan seramai 30 anggota terlibat dalam pencarian awal, termasuk tujuh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPA) dari Pengkalan Chepa serta pasukan bomba sukarela.
Operasi itu turut menggunakan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan pacuan empat roda, dengan pencarian dijalankan di sepanjang pesisir pantai melibatkan radius sehingga lima kilometer. Namun, sehingga malam pertama operasi, tiada sebarang petunjuk baharu ditemui.
Usaha pencarian diteruskan keesokan harinya dan pada jam 9.37 pagi, operasi SAR digerakkan semula dengan kerjasama polis menggunakan dua buah bot melalui kaedah pencarian permukaan air di kawasan kejadian. Operasi tersebut turut disertai oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Jabatan Sukarelawan Rakyat (Rela).
![]()
Bagaimanapun, mayat mangsa ditemukan oleh orang awam pada jam 10.48 pagi di persisiran pantai Kampung Cerang Laut, kira-kira 1.5 kilometer dari Pantai Kemayang. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Penolong Penguasa Bomba Ahmad Ridhuan Mohamad Ghazali berkata, mayat kanak-kanak itu kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Menurut beliau, seramai 16 anggota bomba pelbagai pangkat termasuk bomba sukarela terlibat dalam operasi SAR pada hari kejadian penemuan mangsa.
Kredit: Sinar Harian