Beberapa kawasan tumpuan pelancong di sekitar Jalan Bukit Bintang dilaporkan berada dalam keadaan kurang bersih dan dipenuhi sampah selepas sambutan perayaan Krismas yang berlangsung pada malam semalam.
Keadaan itu dipercayai berpunca daripada sikap segelintir pengunjung yang membuang sampah merata-rata sehingga mencacatkan pemandangan dan imej pusat bandar.
![]()
Bukit Bintang Kotor Selepas Sambutan Krismas, DBKL Beri Nasihat
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan pihaknya telah menggerakkan kerja-kerja pembersihan segera di sekitar kawasan terlibat bagi mengembalikan suasana bandar yang bersih, teratur dan selesa untuk kegunaan orang ramai. Menurut DBKL, walaupun suasana perayaan diraikan dengan meriah, aspek kebersihan tidak seharusnya dipandang ringan.
Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook pada Khamis, DBKL mengingatkan orang ramai agar sentiasa bertanggungjawab dengan membuang sampah di tempat yang disediakan dan menjaga kebersihan ruang awam yang digunakan bersama.
![]()
Tindakan kecil seperti menguruskan sampah dengan betul, katanya, mampu memberi impak besar terhadap kebersihan dan kualiti persekitaran bandar.
Tegas DBKL, kesedaran serta sikap prihatin setiap individu amat penting bagi memastikan Kuala Lumpur kekal bersih, indah dan selesa, khususnya ketika musim perayaan yang menarik kehadiran ramai pengunjung tempatan dan pelancong.
Kredit: Sinar Harian