Seorang wanita berusia 26 tahun yang dipercayai bekerja sebagai pengasuh telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes penderaan bayi di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Desa Petaling.

Penahanan itu dibuat susulan tiga laporan polis yang diterima, melibatkan bayi berusia enam dan sembilan bulan yang didakwa menjadi mangsa penderaan.

Pengasuh Taska Ditahan, Disyaki Terlibat Kes Penderaan Bayi Di Desa Petaling

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan memaklumkan bahawa suspek ditahan pada 16 Disember lalu dan kes kini disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur. Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan siasatan masih diteruskan. Hasil siasatan awal juga mendapati hanya seorang individu dikenal pasti terlibat dalam kejadian tersebut.

Kes berkenaan mula mendapat perhatian umum selepas rakaman video tular di platform Threads yang memaparkan dua wanita dipercayai pengasuh bertindak kasar terhadap beberapa bayi, termasuk menampar dan mencampak mereka di dalam taska berkenaan. Rakaman itu mencetuskan kemarahan warganet serta kebimbangan dalam kalangan ibu bapa mengenai tahap keselamatan di pusat jagaan kanak-kanak.

Seorang pengguna Threads dengan nama akaun @liyanazulkifli mendakwa anaknya yang berusia enam bulan turut menjadi mangsa dalam kejadian tersebut bersama beberapa bayi lain. Dalam perkongsiannya, dia meluahkan kesedihan apabila melihat rakaman penderaan terhadap bayinya, yang menurutnya terlalu kecil dan tidak berupaya mempertahankan diri, sekali gus menimbulkan rasa hancur hati sebagai seorang ibu.

Kredit: Sinar Harian, Threads liyanazulkifli

 

[fbcomments]