Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesahkan berlaku kebakaran melibatkan sebuah menara komunikasi milik Maxis di Kampung Kelebor, Kuala Kangsar, Perak pada petang semalam.
Menara berkenaan menempatkan peralatan stesen pemancar bagi CelcomDigi dan Maxis, sekali gus menyebabkan gangguan perkhidmatan telekomunikasi di beberapa kawasan berhampiran.
![]()
Menara Komunikasi Terbakar Di Kuala Kangsar, Liputan Telekomunikasi Terganggu
Menurut MCMC, kejadian yang berlaku sekitar jam 6.50 petang itu memberi kesan kepada liputan rangkaian pengguna CelcomDigi, Maxis dan Unifi Mobile. Antara kawasan yang terjejas termasuk Kampung Kelebor, Kampung Langkap Ketior, Kampung Rambai 7, Kampung Menora, Kampung Senggang, Kampung Ulu Kenas serta Kampung Lempor. Selain itu, gangguan komunikasi turut dilaporkan di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak di Lebuhraya Utara–Selatan yang terletak berhampiran lokasi kejadian.
MCMC memaklumkan punca kebakaran masih belum dikenal pasti dan kini berada dalam siasatan pihak berkuasa. Akses ke kawasan menara telah ditutup sementara bagi membolehkan siasatan dijalankan oleh agensi terlibat termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
![]()
Susulan kejadian itu, MCMC telah mengarahkan penyedia perkhidmatan telekomunikasi terlibat untuk mengambil langkah pembetulan segera serta menyediakan pelan pemulihan menyeluruh bagi mengurangkan kesan gangguan kepada pengguna. Sebagai langkah kecemasan, MCMC turut menyediakan kemudahan WiFi satelit Starlink di R&R Sungai Perak arah utara bagi memastikan pengguna lebuh raya masih mempunyai akses komunikasi.
Dalam masa sama, pemilik menara dan penyedia perkhidmatan turut diarahkan supaya memperketatkan kerja penyelenggaraan, pemeriksaan teknikal serta pemantauan berterusan di semua menara komunikasi. Langkah ini bertujuan memastikan kebolehpercayaan rangkaian serta tahap keselamatan pengguna sentiasa terpelihara.
Kredit: Harian Metro