Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor menyita sebuah kenderaan mewah jenis Lamborghini selepas pemeriksaan mendapati Lesen Kenderaan Motor (LKM) kenderaan itu telah tamat tempoh selama 15 bulan.
![]()
Pemilik Tak Sempat Jual, JPJ Selangor Sita Lamborghini
Menurut laporan, penyitaan itu dilakukan ketika Ops Luxury di susur keluar Lebuh Raya Kuala Lumpur–Kuala Selangor (LATAR). Ketika ditahan, pemandu lelaki yang juga seorang pemilik perniagaan kenderaan terpakai difahamkan sedang menuju ke Setia Alam bagi urusan jual beli kereta berkenaan.
Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan, memaklumkan bahawa pemeriksaan awal mendapati kenderaan tersebut tidak mempamerkan nombor pendaftaran di bahagian hadapan. Hasil semakan lanjut turut mendapati LKM dan perlindungan insurans kenderaan itu telah tamat tempoh sejak 15 bulan lalu, dengan pemandu memberi alasan bahawa kenderaan berkenaan tidak diperbaharui kerana ingin dijual.
![]()
Selain itu, semakan rekod mendapati pemandu tersebut mempunyai beberapa kesalahan lalu lintas terdahulu termasuk gagal mematuhi had laju, memandu tanpa lesen sah serta lesen memandu percubaan yang telah tamat tempoh.
Susulan penemuan itu, Lamborghini berkenaan disita dan dibawa ke Stesen Penguatkuasa (SPK) Ijok untuk tindakan lanjut di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kredit: Kosmo!