Seorang bapa melalui detik paling memilukan dalam hidupnya apabila wanita yang maut dalam kemalangan jalan raya di persimpangan lampu isyarat Jalan Kemajuan, Bukit Kecil berhampiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) semalam dikenal pasti sebagai anak perempuannya sendiri.
Mangsa, Syakirah Hanan, 25, merupakan penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang sedang menjalani pengajian lanjutan selepas menamatkan pengajian di luar negara.
![]()
Bapa Terkejut Mayat Di Jalan Raya Rupanya Anak Sendiri, Penuntut UniSZA Maut Dalam Kemalangan
Bapanya, Mazli Yusoh, 51, berkata beliau berada dalam perjalanan ke Kuala Berang bagi menguruskan hal peribadi ketika melalui lokasi kejadian. Ketika itu, beliau ternampak satu mayat yang ditutupi kain putih dan dipayungi di atas jalan raya, namun tidak menyangka mangsa adalah anak kandungnya. Menurutnya, perasaan itu berubah sepenuhnya selepas menerima panggilan daripada pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan yang memaklumkan sebuah kenderaan berdaftar atas namanya terlibat dalam kemalangan.
Mazli berkata, ketika panggilan itu diterima, beliau sudah berada di Kampung Tapu, Kuala Berang sebelum segera berpatah balik ke lokasi kejadian. Syakirah merupakan anak kedua daripada tujuh beradik dan pada hari kejadian, arwah dalam perjalanan ke Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu bagi menguruskan hal berkaitan latihan praktikal mengajar yang dijadualkan bermula Mac ini. Malam sebelum kejadian, arwah ada menghubunginya bagi memaklumkan perancangan untuk ke Perpustakaan Awam Negeri sebelum ke JPNT.
![]()
Pada pagi kejadian, Mazli yang juga seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Putra, Besut, sempat bertemu arwah ketika singgah di rumah mereka di Kampung Kuala Bekah yang didiami Syakirah. Beliau menyifatkan pertemuan itu sebagai pertemuan terakhir yang tidak disangka akan berakhir dengan tragedi. Katanya, arwah sangat rapat dengannya dan sering berkongsi hal berkaitan pelajaran, kerjaya serta kehidupan seharian.
Walaupun berat menerima kenyataan, Mazli berkata beliau reda dengan ketentuan Ilahi dan percaya setiap yang bernyawa pasti akan pergi mengikut ketetapan Tuhan. Beliau turut menganggap pemergian anaknya dalam kemalangan itu sebagai satu kematian yang mulia dan berharap roh arwah dicucuri rahmat. Namun, beliau tidak menafikan perasaan sedih dan kehilangan kerana anaknya merupakan seorang yang penyayang serta mudah mesra.
![]()
Mazli turut meluahkan rasa terkilan apabila hasrat Syakirah untuk mengikuti jejak langkahnya sebagai pendidik tidak kesampaian. Arwah sebelum ini menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Syariah di Universiti Al Azhar, Mesir, pada tahun lalu sebelum menyambung pengajian di UniSZA pada April lepas, didorong minat mendalam terhadap bidang pendidikan dan cita-cita untuk menjadi seorang guru.
![]()
![]()
Menurut Mazli, jenazah anaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kuala Bekah pada jam 11 malam selepas proses bedah siasat selesai dijalankan.
Kredit: Harian Metro