Seorang lelaki dihukum penjara selama sebulan oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah mencuri barangan keperluan bernilai RM113.70 dari sebuah pasar raya, dalam kejadian yang berlaku pada 1 Januari lalu.

Dipenjara Sebulan, Bapa Dua Anak Ambil Sabun & Syampu Untuk Kegunaan Harian

Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Muhamad Azrul Haqim Azman, 29, yang tidak bekerja, selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di mahkamah pada Isnin. Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mencuri di dalam sebuah bangunan yang digunakan untuk menyimpan harta, kira-kira jam 9.30 malam di pasar raya berkenaan.

Kes dikendalikan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun serta boleh dikenakan denda. Mahkamah turut dimaklumkan bahawa bagi kesalahan berulang, hukuman lebih berat termasuk sebatan boleh dikenakan. Antara barangan yang dicuri termasuk produk mandian dan penjagaan diri, iaitu satu unit Carrie Junior Hair and Body Wash, dua unit Selsun Shampoo 2-in-1, satu unit Lifebuoy Body Wash, serta sehelai singlet jenama Byford.

Dalam rayuannya, peguam tertuduh memaklumkan bahawa anak guamnya berdepan tekanan hidup selepas kehilangan pekerjaan dan tidak mempunyai pendapatan tetap. Tertuduh juga telah berkeluarga dan mempunyai dua orang anak kecil, masing-masing berusia empat tahun dan tiga bulan. Menurut peguam, barangan yang diambil bukan untuk tujuan jualan, sebaliknya bagi kegunaan harian tertuduh dan keluarganya.

Mahkamah turut diberitahu bahawa tertuduh menghidap penyakit darah tinggi, tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau, dan kes ini merupakan kesalahan pertama yang dilakukan olehnya. Selepas meneliti semua hujah, mahkamah memerintahkan hukuman penjara tersebut berkuat kuasa mulai tarikh tangkapan pada 2 Januari lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ely Nazihah Ahmad Yunus, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Ummi Sharmimi Harun.

Kredit: Sinar Harian

 

[fbcomments]