Sebuah kediaman di Jalan Tok Guru musnah dalam kebakaran yang berlaku kelmarin, mengorbankan seorang wanita warga emas bersama puluhan haiwan peliharaan dan anjing liar yang sering berada di kawasan rumah berkenaan.

Kejadian menyayat hati itu dimaklumkan kepada pemilik rumah, Norhaeda Azahari, ketika dia berada di Pengkalan Chepa atas urusan kerja sekitar jam 6 petang.

Rumah Hampir Musnah 98 Peratus, Ibu Angkat Dan 75 Haiwan Terkorban

Menurut Norhaeda, sebaik menerima panggilan tersebut, dia bergegas pulang ke rumahnya sebelum mendapati api masih marak. Lebih mengejutkan, dia dimaklumkan bahawa ibu angkatnya, Fatimah Mat Said, 89, gagal menyelamatkan diri. Mangsa yang uzur dan mempunyai masalah penglihatan dilaporkan masih boleh berjalan, namun dipercayai tidak sempat keluar ketika kebakaran berlaku.

Dalam kejadian itu, sebanyak 70 ekor kucing peliharaan milik Norhaeda yang ditempatkan di dalam sangkar turut rentung. Selain itu, lima ekor anjing liar yang sering diberi makan olehnya dan berkeliaran di sekitar rumah juga ditemukan mati. Norhaeda menyifatkan kehilangan tersebut sebagai sesuatu yang berlaku sekelip mata dan mengakui masih terkejut dengan tragedi yang meragut insan tersayang serta haiwan-haiwan yang dijaganya.

Mayat Fatimah berjaya dibawa keluar oleh pasukan polis dan bomba pada jam 8.39 malam selepas kerja-kerja pemadaman dijalankan. Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Pegawai Bomba Kanan II Satyuti Satar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada jam 5.58 petang.

Beliau memaklumkan bahawa sebaik tiba di lokasi, rumah berkenaan didapati telah terbakar hampir keseluruhannya dengan tahap kemusnahan dianggarkan sekitar 98 peratus. Seramai 27 anggota bomba terlibat dalam operasi memadam kebakaran bagi mengawal keadaan di lokasi kejadian.

Kredit: Sinar Harian

[fbcomments]