Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan bahawa Mohd Faizul Rohban dan Irdiena Hakim Jasman, masing-masing adik dan anak kepada pengasas Dnars, Allahyarham Faziani Rohban, perlu membayar ganti rugi kepada Ahmad Shah Rizal Ibrahim susulan saman fitnah yang difailkan terhadap mereka.

Mahkamah Tinggi Shah Alam Perintahkan Adik dan Anak Pengasas Dnars Bayar Ganti Rugi

Selain ganti rugi, kedua-dua defendan diarahkan melakukan injunksi kekal dan menyiarkan permohonan maaf secara terbuka melalui media arus perdana, portal berita, serta akaun Facebook peribadi masing-masing. Mahkamah turut menghalang kedua-dua defendan dan ejen atau pekerja mereka daripada menerbitkan sebarang kenyataan atau tulisan serupa yang bersifat fitnah pada masa hadapan.

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah mendapati defendan gagal membuktikan tuduhan jahat yang dilemparkan terhadap plaintif. Ahmad Shah Rizal menegaskan bahawa tindakan undang-undang ini bukanlah atas kepentingan kewangan, sebaliknya bertujuan membersihkan nama, mempertahankan maruah dan integriti peribadi, serta memelihara nama baik keluarga. Beliau berharap keputusan ini dapat menghentikan sebarang fitnah yang selama ini menjejaskan reputasinya.

“Keputusan mahkamah ini menegakkan kebenaran. Fitnah yang dilemparkan bukan sahaja menyentuh diri saya dan keluarga tetapi turut menjejaskan maruah serta legasi Allahyarham. Saya berharap perkara ini menjadi pengajaran bahawa tuduhan palsu tanpa asas adalah sangat kejam,” katanya.

Tindakan saman Ahmad Shah Rizal difailkan berikutan pelbagai tuduhan palsu yang berkisar pada perlakuan curang terhadap isterinya dengan wanita lain semasa hayat Allahyarham Faziani. Beliau turut didakwa bersikap kejam terhadap anak tiri melalui laporan palsu, dituduh tamak dan cuba menyeleweng harta peninggalan arwah. Terdapat juga dakwaan yang menyatakan beliau cuba memusnahkan bukti dengan menggodam akaun Facebook Faizul dan tidak menyediakan keperluan serta penjagaan anak tiri.

Sebelum ini, pada 21 Januari lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam telah membenarkan tuntutan saman fitnah yang difailkan oleh suami Allahyarham Faziani terhadap pelbagai penerbitan tuduhan palsu dan fitnah yang diterbitkan defendan.

Kredit: mStar

 

 

 

 

[fbcomments]