Pelakon Diana Danielle memilih untuk berdiam diri berhubung isu seorang pelakon lelaki yang ditahan polis kerana disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah, selepas nama bekas suaminya, Farid Kamil, turut dikaitkan dengan spekulasi berkenaan.
![]()
Diana Danielle Utamakan Anak-anak, Doakan Yang Terbaik Buat Farid Kamil
Diana atau nama penuhnya Diana Danielle Danny Beeson, 35, menjelaskan bahawa dia tidak mempunyai maklumat terperinci mengenai perkara tersebut dan merasakan adalah lebih wajar untuk tidak membuat sebarang komen lanjut. Bagaimanapun, dia berharap dakwaan yang tular itu tidak benar dan mendoakan yang terbaik buat Farid.
Berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis pelancaran produk Numinara di Common Ground KLCC, Kuala Lumpur pada Khamis, beliau berkata keutamaannya kini adalah kebajikan serta masa depan anak-anak mereka. Diana turut menyatakan harapan agar dia dan Farid dapat terus menjalankan tanggungjawab sebagai ibu bapa dengan baik walau apa jua keadaan yang berlaku, demi memastikan anak-anak membesar dalam persekitaran yang positif dan seimbang.
![]()
Mengulas hubungan Farid dengan anak-anak, Diana memaklumkan bekas suaminya itu masih kerap bertemu mereka, termasuk melawat anak sulung mereka, Muhammad, yang dilaporkan kurang sihat. Menurutnya, hubungan Farid dengan anak-anak kekal rapat dan mereka berjumpa hampir setiap minggu.
Diana turut menegaskan kepentingan peranan seorang bapa dalam kehidupan anak-anak dan menyatakan sokongan terhadap penglibatan Farid dalam membesarkan mereka.
![]()
Terdahulu, media sosial kecoh dengan berita penahanan seorang pelakon lelaki terkenal selepas ujian saringan air kencing didapati positif dadah sehingga mengaitkan nama Farid Kamil. Namun, pelakon berkenaan tidak dikenakan hukuman penjara selepas Mahkamah Rayuan membenarkan hukuman denda sebanyak RM5,000.
Kredit: OhBulan!